
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu merangka strategi untuk meningkatkan kadar upah dan menggunakan teknologi terkini bagi menarik minat golongan muda menceburi industri getah, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berkata, ini berikutan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengesan lebih 500,000 hektar kebun getah tidak bertoreh kerana faktor usia.
“Hal ini berpunca kerana penoreh getah yang berusia berhadapan kesukaran untuk mengurus kebun getah,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan peringkat jawatankuasa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Dewan Rakyat, hari ini.
Justeru itu, Nurul Amin berkata, jika industri tersebut berjaya menarik minat golongan muda, sekali gus dapat meningkatkan hasil getah melalui penggunaan teknologi terkini.
“Peningkatan penglibatan golongan muda dalam industri getah secara langsung akan meningkatkan pengeluaran getah apabila melibatkan penggunaan teknologi.
“Saya ambil contoh Lembaga Getah Malaysia yang mewujudkan Akademi Hevea Malaysia, sebuah unit latihan yang turut mempunyai cawangan di Langkawi.
“Mereka menyediakan Kursus Sijil Teknologi Getah yang menyasarkan golongan belia berumur 18 – 35 tahun untuk dilatih sebagai tenaga mahir dalam industri getah,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/11/2023











