
KUALA LUMPUR: Zakri Hassan (PN-Kangar) meminta kerajaan menyatakan perancangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mewujudkan Kolej Tingkatan Enam yang kini dikenali sebagai Kolej Pra-Universiti KPM di Perlis.
Beliau turut ingin tahu adakah KPM mengambil langkah-langkah jangka pendek bagi mengatasi masalah kekurangan guru di Kolej Pra-Universiti KPM.
“Sementara menunggu penubuhan Kolej Tingkatan Enam yang pertama di Perlis, adakah langkah-langkah jangka pendek yang boleh dibuat oleh KPM bagi mengatasi masalah kekurangan guru di sekolah mod dua dan tiga,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, terdapat sembilan pusat Kolej Pra-Universiti KPM telah ditubuhkan sehingga 31 Oktober di Perlis.
Katanya, perluasan Kolej Pra-Universiti KPM akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan mengambil kira permintaan, keperluan serta kelestarian pengoperasian pendidikan tingkatan enam, termasuk cadangan mewujudkan Kolej Pra-Universiti KPM di negeri Perlis.
Bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kangar, kementerian sentiasa berusaha dan memastikan pengisian guru Kolej Pra-Universiti KPM diisi sebaik mungkin agar kekosongan yang ditinggalkan bagi guru yang bersara dapat diisi oleh guru-guru sedia ada atau guru baharu.
“Sehingga 30 September jumlah penjawatan guru bagi pusat Pra-Universiti KPM melalui mod dua dan mod tiga di Perlis adalah sebanyak 173 dengan pengisian seramai 136 bermaksud kita (kementerian) ada kekosongan penjawatan guru Pra-Universiti KPM di perlis sebanyak 37 orang guru,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/11/2023











