
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang meminta kerajaan menyatakan pendirian mengenai keputusan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) meluluskan undang-undang yang membenarkan sekatan dikenakan terhadap pihak luar yang menyokong Hamas serta pergerakan Jihad Islam Palestin.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Akta Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas itu diluluskan dengan majoriti 363 berbanding 46 yang menentang.
Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menjawab memberitahu bahawa kerajaan tidak mengiktiraf keputusan mana-mana negara termasuk AS yang mengenakan sekatan secara unilateral.
Katanya, Malaysia hanya mengiktiraf keputusan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dibuat secara multilateral.
“Malaysia tidak bersetuju dengan cara yang dibuat oleh AS, keduanya ia tidak mempengaruhi dasar dan keputusan kita. Semalam saya menghubungi beberapa sahabat dan negara Islam yang memberikan pendirian sama bahawa kita tidak mengiktiraf.
“Sebab itu hubungan dengan Hamas kita teruskan dulu dan sekarang serta tidak menghukum mereka sebagai badan pengganas,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/11/2023











