YDP dan TYDP tidak adil, halau 2 MP PN keluar Dewan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Timbalan Yang Dipertua 2 Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng disifatkan tidak adil apabila bertindak menghalau dua wakil pembangkang dari persidangan petang ini.

Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) sehubungan itu turut keluar beramai-ramai sebagai solidariti kepada dua Ahli Parlimen tersebut dan bantahan kepada keputusan pengendalian itu.

Ustaz Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) dan Datuk Ustaz Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) dihalau Johari dan Alice ketika dalam sesi Perbahasan Bajet 2024 Peringkat Jawatankuasa, petang tadi.

Ahmad Marzuk memaklumkan, beliau tidak dijelaskan perkataan yang menyebabkan dia dihalau setelah diperintahkan menarik balik penyataannya kerana didakwa membuat sangkaan jahat terhadap Menteri.

“Saya bangun bertanya Menteri Agama, apa peranan untuk menangani isu Islamofobia dan salah tanggap masyarakat di luar terhadap agama, bahkan bukan sahaja di kalangan awam di luar tetapi juga di kalangan Menteri pun ada salah faham tentang agama. 

“Saya mengambil satu contoh salah seorang Menteri yang buat satu posting letak gambar budak-budak berpakaian seperti pejuang HAMAS Palestin dan diletak satu caption ‘Sekolah bukan tempat untuk konflik, fahaman ekstremisme dan keganasan’. 

“‘Sebaliknya sifat manusiawi dan perasaan cinta keamanan perlu diketengahkan. Mereka yang salah gunakan kuasa, bertanggungjawab wajib dikenakan tindakan disiplin’. Ini satu dakwaan yang tersasar!

“Kerana perjuangan rakyat Palestin dalam apa saja wajah penampilan mereka, mereka berjuang untuk menuntut hak tanah air yang diceroboh, untuk mendapat kemerdekaan, untuk mempertahankan diri.

“Jadi bila seorang Menteri buat posting sebegitu, dia telah memberi satu gambaran yang salah terhadap perjuangan Palestin itu sendiri. Bahaya, kerana ini bukan pendirian kerajaan,” jelasnya pada sidang media di Lobi Parlimen.

Menurut Marzuk, apabila ditanya soalan tersebut kepada Menteri Agama, beliau telah didakwa melakukan sangkaan jahat dan diminta menarik balik, tetapi apabila enggan beliau telah dihalau Timbalan Pengerusi.

Misbahul Munir pula memberitahu, ucapan beliau mengenai isu geran, kebajikan Guru KAFA dan laungan takbir telah diganggu dengan pencelahan tanpa izin oleh Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat).

“Saya hanya berkata berkaitan dengan guru KAFA yang ada diugut oleh pihak kerajaan kerana menyokong pembangkang dalam pilihan raya, itu hak mereka. Tiba-tiba Hulu Langat terus bangkit macam orang tak siuman, mengganggu ucapan saya.

“Mencelah tanpa kebenaran saya. Sepatutnya dia nak mencelah pun mesti dengan izin sayalah. Itu floor saya, tapi dia bercakap macam orang gila ni. Begitulah lebih kurang. ‘Macam, ya! Yang kedua, bila saya bangkitkan isu takbir dan juga doa qunut nazilah. 

“Saya minta Menteri Hal Ehwal Agama jangan menghalang, bahkan membenarkan pelajar-pelajar yang nak bersolidariti isu Palestin dibenarkan untuk melaungkan takbir. Sebab itu kalimah membesarkan Allah SWT.

“Di ketika Israel sombong angkuh, kita besarkan Allah SWT dan juga membenarkan bacaan doa qunut nazilah dalam solat. Sebab Menteri Pendidikan buat kenyataan tak perlu ada takbir, tak perlu ada doa qunut nazilah di sekolah-sekolah kerajaan. 

“Tapi di sekolah agama yang di bawah JAKIM, benarkanlah. Sebab ini ajaran agama. Apabila kita ditimpa musibah dalam bentuk bala, perang umat Islam dibunuh, dibantai, hari-hari oleh Zionis Israel. 

“Jadi kita dituntut untuk membaca doa qunut nazilah dan doa itu sunatnya dibaca waktu solat terakhir, solat fardu. Jadi waktu solat orang bukan Islam tak ada pun sekolah agama. Tiba-tiba saya diganggu begitu begini,” kesalnya. 

Beliau turut kecewa apabila ucapan tersebut turut diganggu dengan celahan tanpa izin oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang ditempelaknya sebagai ‘tidak reti’ Peraturan Mesyuarat.

Ekoran itu terjadi pertikaian lidah, tetapi hanya beliau seorang dihalau Pengerusi yang disuarakannya pada sidang media dihadiri Ahli-ahli Parlimen PN itu tadi. – HARAKAHDAILY 6/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -