
APABILA timbul isu larangan bertakbir dan qunut nazilah di sekolah-sekolah, kita perlu fahami bahawa kita sedang berhadapan dengan konflik ideologi.
Ideologi yang dimaksudkan ialah perbincangan mengenai humanisme. Asal-usul humanisme ialah memperjuangkan manusia itu sebagai manusia.
Ia juga boleh dikatakan terkesan dengan sophisme yang membawa konsep ‘manusia adalah kayu ukur bagi segalanya’.
Fahaman ini bertitik tolak daripada penindasan di era Dark Ages, yang turut didalangi oleh orang-orang gereja atas nama agama.
Akhirnya, Dark Ages ini disudahi dengan Renaissance dengan slogan-slogan seperti Humanisme yang searus dengan penolakan terhadap agama (sekular).
Sejak Perang Dunia Kedua, Blok Barat khususnya Amerika sering mewatakkan diri mereka sebagai pejuang humanisme, sekalipun mereka jugalah yang menjatuhkan atom di Hiroshima dan Nagasaki.
Amerika campur tangan dalam politik negara-negara lain atas nama ‘pengaman’. Kononnya merekalah pejuang yang mengamankan sengketa antara saudara (perang saudara).
Namun, hari ini apabila timbul penindasan terhadap rakyat Palestin, saya melihat gerakan humanisme berada dalam dilema. Tersepit dan terbelit dengan slogan mereka sendiri.
Iaitu tersepit dan terbelit antara slogan hipokrit mereka iaitu perjuangan kemanusiaan yang bersifat sekular, dengan agenda Israel yang menindas umat Islam yang beragama.
Apa yang mereka temui penghujung jalan perjuangan sekular humanisme rupanya penindasan ke atas agama, iaitu Islam. Di sinilah mereka terbelit.
Lalu, apabila ia terbelit sampai ke Malaysia, aliran ini cuba mensekularkan solidariti ke atas Palestin.
Mereka hanya bersolidariti atas nama kemanusiaan semata-mata, yang tidak dikaitkan dengan agama langsung, sedangkan isu Palestin itu bukan sekadar kemanusiaan, tetapi agama.
Justeru, timbullah isu larangan-larangan menaikkan unsur-unsur agama dalam bersolidariti, sedangkan yang ditindas itu bukan hanya manusia, tetapi tanah air umat Islam.
MUHAMMAD MUJAHID IR HAJI MOHAMMAD FADZIL HARAKAHDAILY 6/11/2023
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











