
KUALA LUMPUR: Pembangkang telah didakwa bersikap defensif hingga terdiam kerana ‘disekolahkan’ oleh para pemimpin kerajaan sepanjang Persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung ketika ini.
Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin bagaimanapun menyangkal gambaran salah untuk memperlekehkan itu, sebaliknya menegaskan bahawa sidang memerlukan ahli Dewan patuh prosedur ditetapkan.
Jelas beliau, soalan kepada setiap pertanyaan mesti dikemukakan secara bertulis lebih awal oleh setiap Ahli Dewan, namun pihak kerajaan dibolehkan memilih dan menyusun soalan hendak dijawab.
Terangnya, pihak kerajaan mungkin memilih soalan yang mudah untuk dijawab dalam susunan pilihannya, manakala soalan tidak dijawab pula akan diberikan jawapan secara bertulis kepada Ahli Dewan berkenaan.
“Bila secara bertulis maknanya kalau kita tak puas hati pun ‘you cannot come out with second question’. Hanya kita boleh tanya pada hari itu saja, kalau dia jawab dalam Parlimen kita diberi peluang untuk bertanya kali yang kedua.
“Dan bila kita tanya kali yang kedua itu, dia jawab yang menyebabkan kita tak puas hati, tapi kita tak boleh bangun sekali lagi (untuk bertanya kali ketiga). Speaker tak akan benarkan,” jelas beliau di Ibu Pejabat Perikatan Nasional (PN), di sini hari ini.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, dakwaan dan gambaran kononnya ‘disekolahkan’ itu bermotif mahu memperlecehkan pembangkang, sedangkan sebenarnya adalah pihak kerajaan gagal menjawab soalan. – HARAKAHDAILY 2/11/2023











