
WASHINGTON: Pentagon (Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat) tidak menyokong gencatan senjata ketika Israel bermaharajalela menyerang Gaza yang terkepung, membunuh lebih 9,000 penduduk Palestin, terutama wanita dan kanak-kanak.
“Kami tidak menyokong gencatan senjata kerana ini memberi masa kepada Hamas untuk berkumpul semula, sesuatu yang akan meletakkan warga Israel dan orang lain dalam bahaya,” kata Jurucakap Pentagon, Pat Ryder ketika taklimat akhbar merujuk kepada kumpulan pejuang Palestin, Hamas.
“Bagaimanapun, saya ada mendengar bahawa presiden menyatakan kerajaan Amerika Syarikat (AS) menyokong jeda kemanusiaan untuk membolehkan bantuan kemanusiaan masuk, manakala tebusan dan penduduk keluar,” kata jurucakap berkenaan.
Presiden AS, Joe Biden menggesa jeda kemanusiaan membabitkan pemberhentian permusuhan “sementara, setempat” – kurang daripada gencatan senjata am – kata seorang pegawai kanan Rumah Putih.
Ketika acara kempen Rabu lalu, Biden digesa seorang penonton untuk mengadakan gencatan senjata dalam perang di Gaza. Biden menjawab, “Saya rasa kita perlu jeda.”
Bercakap kepada wartawan semalam, jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan jeda seperti itu.
“Jeda kemanusiaan … bersifat sementara, setempat dan tertumpu, tertumpu pada objektif atau objektif tertentu, bantuan kemanusiaan masuk, orang keluar,” kata Kirby.
Beliau berkata, idea umum ialah dalam ruang geografi itu, untuk masa yang terhad, akan ada pemberhentian permusuhan, cukup untuk membenarkan apa sahaja yang anda cuba benarkan.”
Rumah Putih sebelum ini menggesa “jeda kemanusiaan” bagi membolehkan bantuan dihantar ke Gaza atau untuk melakukan pemindahan, tetapi setakat ini enggan membincangkan gencatan senjata.
Kirby mengesahkan kedudukan itu.
“Kami tidak menyokong gencatan senjata am pada ketika ini. Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami percaya bahawa gencatan senjata am akan memberi manfaat kepada Hamas dalam memberikan mereka ruang dan masa bernafas untuk terus merancang dan melaksanakan serangan.”
Operasi Banjir al-Aqsa
Konflik semasa di Gaza yang terkepung sejak 7 Oktober lalu, bermula apabila pejuang memulakan Operasi Banjir Al Aqsa, serangan mengejut pelbagai serampang termasuk bertubi-tubi pelancaran roket dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut dan udara. .
Hamas berkata, serangan itu adalah sebagai tindakan balas terhadap penyerbuan Masjid al-Aqsa dan keganasan harian oleh peneroka haram Israel. Rejim Zionis mendakwa kira-kira 1,400 orang terbunuh dalam serbuan itu.
Israel sejak itu mengebom Gaza yang menempatkan 2.3 juta orang, selain menghantar kereta kebal dan meriam, membunuh beribu-ribu orang awam Palestin, termasuk lebih 3,600 kanak-kanak.
Kenyataan dari Rumah Putih datang ketika Setiausaha Negara, Antony Blinken mengetuai kunjungan ke Israel untuk mendapatkan “langkah konkrit” sekutunya untuk meminimumkan bahaya kepada orang awam Gaza.
Biden menjanjikan sokongan penuh dan meningkatkan bantuan ketenteraan kepada Israel untuk serangan di Gaza, tetapi dalam perubahan nada yang kelihatan menyuarakan empati terhadap penderitaan Palestin, yang mencetuskan kemarahan di dunia Islam dan mengurangkan populariti Biden dalam kalangan umat Islam AS. – TRT WORLD











