Saya bukanlah orang terbaik

Dato' Dr Halim Tamuri
- Advertisement -

SAIDINA Abu Bakar RA dalam ucapan sulungnya sebagai khalifah telah berkata (maksudnya): “Wahai sekalian manusia, aku telah dipertanggungjawabkan ke atas kamu dan bukanlah aku yang paling baik dari kalangan kamu. Sekiranya aku memerintah dengan baik maka bantulah aku. Dan sekiranya aku memerintah dengan buruk, maka perbetulkan aku. Kebenaran itu merupakan amanah, dan pendustaan itu adalah sebuah pengkhianatan.”

- Advertisement -

Saya bukanlah orang terbaik untuk memikul amanah jawatan sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor ini. Dalam organisasi PAS yang telah berusia 69 tahun ini, terlalu ramai tokoh berkelayakan lain.

Namun, saya menghargai kepercayaan diberikan Presiden PAS, YB Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan kepimpinan PAS Pusat ini. Sifat berjemaah atau kolektif PAS meyakinkan saya untuk menjadi salah satu bata dari binaan PAS Selangor.

Saya juga merakamkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor sesi 2021-2023. Diketuai YB Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, mereka telah mencurahkan khidmat bakti yang hanya Allah SWT sahaja mampu membalasnya. Beliau akan terus dijadikan rujukan oleh saya bagi memimpin amanah yang sangat berat ini.

Tidak lupa saya kepada para ahli dan pendukung PAS sejak ia didaftarkan di Selangor tahun 1952 dahulu. Siapa tak kenal almarhum Ustaz Hassan Shukri, almarhum Dr Abdul Rani, Dato’ Iskandar Abdul Samad dan Ustaz Sallehen Mukhyi.

Pimpinan sesi lalu dan mereka yang telah kembali kepada Allah SWT ini, bagi saya meninggalkan satu legasi cukup gemilang untuk PAS Selangor.

Bahkan satu penanda aras yang belum tahu mampu atau tidak saya ikuti, apatah lagi mengatasinya.

Setidaknya, dalam konteks pilihan raya, berbanding hanya 1 kerusi DUN pada PRU14 dahulu, pada PRN baru-baru ini PAS telah memenangi 10 kerusi DUN daripada 56 kerusi DUN Selangor yang dipertandingkan. Kerusi Parlimen lebih awal bertambah dari 0 pada PRU14 kepada 3 kerusi dalam PRU15.

Tugas saya tidak hanya mengekal dan mempertahankan kemenangan. Tetapi tentulah diharap menambah dan memastikan PAS bersama sahabat PERIKATAN NASIONAL memimpin pemerintahan kerajaan.

Lebih utama adalah memastikan kehebatan organisasi dan agenda PAS di seluruh negeri ini bertambah baik dan maju. Saya dengan rendah diri amat-amat mengharapkan dukungan dan sokongan semua pimpinan dan ahli PAS di Selangor khususnya dan seluruh negara amnya.

Saya berikrar, bersama pasukan yang akan dibentuk, segala usaha PAS sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan PAS akan usaha dilaksanakan. Sekali gus, mengekalkan PAS sebagai menyambung mata rantai perjuangan Baginda Rasulullah SAW.

Akhir kata, semoga pelantikan ini diberkati Allah SWT, seterusnya memacu kecemerlangan ummah khususnya di negeri Selangor ini.

YB DATO DR. AB. HALIM TAMURI
Pesuruhjaya PAS Selangor – HARAKAHDAILY 2/11/2023

- Advertisement -