Menteri Kabinet tak ‘respect’ Perdana Menteri? – Afnan

Atau Perdana Menteri gagal kawal Menteri Kabinet?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan diketuai Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada hari ini dibarisi oleh Menteri dan Timbalan Menteri yang tidak serius dan tidak kompeten dalam menjalankan tugas.

Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden membidas kegagalan Menteri dan Timbalan Menteri terhadap tanggungjawab kepada rakyat khususnya dalam memberi komitmen di Parlimen.

Beliau membangkitkan kekesalan terhadap Menteri dan Timbalan Menteri kerana tidak hadir atau lewat hadir ke Sidang Dewan Rakyat khususnya ke sesi jawapan kepada pertanyaan-pertanyaan yang telah dijadualkan.

Jelas Afnan, berdasarkan Peraturan Mesyuarat, sekiranya Menteri tidak dapat hadir, Timbalan Menteri boleh hadir menjawab soalan yang dikemukakan berkenaan kementerian di bawah tanggungjawab mereka.

Bagaimanapun sebentar tadi, pihak kerajaan hari ini sekali lagi ‘mencipta sejarah’ Parlimen apabila soalan dalam giliran telah terjadual terpaksa ditangguhkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Sebelum ini terjadi di bawah kerajaan yang sama apabila Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ling tidak dapat menyediakan soalan dikemukakan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ustaz Ahmad Marzuk Shaary.

Menurut Afnan, jawapan kepada soalan ditanya juga sepatutnya boleh dijawab oleh mana-mana Menteri berdasarkan Peraturan Mesyuarat 24 (1), namun percaya jawapan tersebut tidak diberikan kepada yang berkenaan.

Beliau memberikan contoh berlaku dalam sesi Kamar Khas semalam apabila soalan mengenai Orang Asli yang sepatutnya dijawab Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah telah dijawab Timbalan Menteri Pengangkutan.

Pun begitu ujar beliau, ia tidak menunjukkan keseriusan dan kesungguhan Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kabinet Kerajaan hari ini untuk hadir bagi menjawab sendiri soalan yang ditanya.

“Kalaulah Parlimen, Dewan Rakyat tempat yang paling tinggi untuk buat polisi di dalam negara, mereka tak bagi perhatian serius, apa lagi keseriusan, kesungguhan yang kita nak daripada Menteri-menteri Kabinet?

“Kami bawa suara rakyat. Kita draf soalan, kita hantar awal. Kita ikut Peraturan Mesyuarat. Kita ikut urusan-urusan yang telah ditetapkan oleh Parlimen. Tapi kenapa mereka tak tak boleh patuh?” tempelaknya.

Ketua Pemuda PAS Malaysia itu turut menyelar kegagalan Menteri selaku anggota Kabinet hadir menjawab perkara dasar dibangkitkan dari perbahasan Ahli-ahli Dewan yang pernah berlaku sebelum ini.

“Saya minta penjelasan daripada Perdana Menteri dan Kabinet. Apa sebenarnya berlaku? Kenapa tidak ada arrangement yang baik, menyusun giliran Menteri hadir, tidak ada orang yang pantaukah Menteri ni?

“(Atau) Timbalan Menteri hadir jawab on time, jawab apa yang dibangkitkan dengan serius? Kenapa Perdana Menteri ni saya tengok gagal nak mengawal Kabinet, Menteri-Menteri Kabinet.

“Adakah Menteri Kabinet tak respect pada Perdana Menteri ataupun Perdana Menteri tak dan tengok Menteri Kabinet kerana sibuk uruskan hal-hal lain di luar negara? Sedangkan inilah tata kelola yang nak dicerakinkan dengan penuh wewenang yang keramat disebut banyak kali itu?” pertikainya. – HARAKAHDAILY 2/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -