
KUALA LUMPUR: Ketika barisan kerajaan terus ‘mencipta sejarah’ rekod buruk dalam memenuhi tuntutan tugas di Dewan Rakyat, sikap sebaliknya pula dizahirkan di barisan pembangkang.
Keganjilan tercipta semasa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong menjawab soalan dari Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Apabila tiba giliran soalan tambahan kedua, Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi daripada pembangkang diberi peluang bertanya oleh Timbalan Speaker, Dato’ Ramli Mohd Nor.
Bagaimanapun, Ahli-ahli Dewan daripada pembangkang menyedari reaksi wajah Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal yang terlihat hampa tidak mendapat peluang untuk bertanya.
Lantas, Mumtaz memberikan peluang atau ‘floor’ mewakili pembangkang itu kepada Shafie yang berada di pihak kerajaan dan tindakan tersebut mendapat persetujuan daripada Ramli.
Ruang tersebut sememangnya wajar dalam menunjukkan semangat menghormati MA63 oleh kalangan Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional untuk ia diperkatakan kalangan yang layak.
Ia juga menunjukkan hubungan harmoni antara wakil-wakil rakyat walaupun berbeza blok dan lebih utama bertepatan dengan pengalaman Shafie selaku bekas Ketua Menteri Sabah. – HARAKAHDAILY 2/11/2023











