
KUALA LUMPUR: Shaharizukirnain Abdul Kadir (PN-Setiu) mendesak kerajaan menyatakan pendirian berhubung Triti Pandemik Perjanjian Konvensyen Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO CA+) yang pernah tular dalam media sosial, baru-baru ini.
Selain itu, beliau meminta kerajaan menzahirkan pendirian terhadap pindaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005) yang kedua-duanya memerlukan keputusan kerajaan.
Katanya, perjanjian antarabangsa itu menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan rakyat yang mempersoalkan pendirian kerajaan berhubung masalah yang berlaku pasca Pandemik Covid-19.
“Minta menteri menyatakan pendirian berhubung isu Triti Pandemik Perjanjian Konvensyen Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO CA+) dan pindaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005).
“Pendirian ini perlu diputuskan, sama ada kerajaan mahu meratifikasi atau menolak sebelum 1 Disember ini,” katanya pada Sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, pandemik yang melanda seluruh dunia menjadi iktibar supaya penyelarasan peringkat global dilakukan bagi pencegahan, melindungi dan pelan tindakan segera.
Katanya, ia juga sebagai antara langkah untuk memperkukuhkan sistem perubatan antarabangsa bagi menghadapi sebarang penyakit berjangkit menular sekali lagi pada masa hadapan.
Bagaimanapun, katanya kedaulatan dan autonomi negara tidak boleh dicabuli oleh mana-mana pihak dengan sebarang pengubalan undang-undang tidak bercanggah dengan Perlembagaan.
“Apa sahaja tindakan mesti tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, memeliharan kedaulatan negara, kuasa Raja-Raja Melayu dan tidak melanggar hak asasi kebebasan rakyat.
“Kita mempertahankan prinsip keadilan dan solidariti dalam pentadbiran kesihatan global, bahkan penting untuk negara maju membantu negara membangun dengan sumber-sumber yang mereka ada,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/11/2023











