
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan adakah perundingan yang telah dibuat bagi memastikan kanak-kanak tanpa dokumen peribadi dipastikan dapat memasuki alam persekolahan.
Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berkata perundingan itu adalah untuk memastikan kesemua kanak-kanak terbabit, yang berjumlah 51 orang kesemuanya, agar mereka juga dapat menimba ilmu di sekolah, sama ada di sekolah bantuan kerajaan atau sekolah rendah atau menengah.
“(Mereka juga) masih lagi dikenakan bayaran contohnya RM120 setahun bagi sekolah rendah dan RM240 setahun bagi sekolah menengah,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau turut mahukan kerajaan menyatakan status program Anjung Sinar kepada alumni ‘anak-anak yang terdampar’ ini.
“Apakah status Anjung Sinar bagi tempat berteduh kepada alumni ‘anak-anak terdampar’ ataupun yang tamat perintah ini yang melebihi umur 18 tahun, yang tidak lagi berada di bawah jagaan isi kanak-kanak; dan berapakah (bilangan) kanak-kanak sebatang kara untuk tahun 2023.
“Setakat ini, apakah status pekeliling Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) penentuan identiti kanak-kanak terdampar yang terkini dan jumlah kanak-kanak yang terdampar untuk tahun 2023” soal beliau lagi.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Raj Munni Sabu dalam jawapannya berkata, kementerian dibawahnya telah mengenal pasti seramai 43 orang peserta yang terdiri daripada penghuni dan lepasan institusi kanak-kanak JKM sebagai kumpulan pertama bagi mengikuti program Anjung Sinar.
Beliau turut menyeru agar kementerian dan agensi lain termasuklah Pusat Zakat, Korperat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama-sama membantu kerjasama strategik dalam melaksanakan ruang dan urusan-urusan bagi memperkasakan program demi kepentingan anak-anak.
“Untuk rekod, daripada Januari hingga Ogos 2023 terdapat sebanyak 156 orang kanak-kanak yang telah pun dibuang ataupun yang telah tiada ibu bapa yang sedang dikendalikan oleh JKM,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/11/2023




















