
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya bersikap berani membuat keputusan bagi kepentingan dan menjaga kesejahteraan rakyat di Malaysia.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa melontarkan persetujuan dan menyokong apa yang dititahkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang bertitah menerusi ‘podcast Keluar Sekejap’ dihoskan oleh bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan bahawa Anwar perlu lebih banyak melaksanakan dan berani dalam membuat keputusan.
“Perdana Menteri (Anwar) kelihatan berseorangan mentadbir negara dengan menteri kabinet gagal bekerja dan memberi sokongan yang padu kepada beliau.
“Perdana Menteri sewajarnya lebih berani bertindak berdasarkan merit bukannya populis. Kegagalan paling besar beliau adalah memulihkan ekonomi negara.
“Kita lihat, rata-rata rakyat di negara ini sangat terkesan dengan keperluan harian dan kos sara hidup yang sentiasa meningkat pada masa kini.
“Isu kelembapan ekonomi, ringgit menjunam, barang keperluan asas seperti minyak masak, telur, gula dan beras tempatan sukar diperolehi serta peluang pekerjaan anak muda semakin terhimpit menambahkan beban besar kepada Perdana Menteri,” jelas Mohd Zai kepada HarakahDaily.
Sehubungan itu, tambah beliau, agenda reformasi dan manifesto yang dijanjikan kepada rakyat semasa kempen Pakatan Harapan (PH) masih lagi tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.
“Kita lihat, lebih banyak masa dihabiskan kepada mempertahankan kuasa daripada melaksanakan agenda rakyat.
“Bajet yang dibentangkan masih gagal merangsang pertumbuhan ekonomi dan ekosistem ekonomi berskala kecil tempatan yang menjadi nadi kepada pendapatan rakyat di negara ini.
“Pelaburan daripada negara-negara luar juga dikatakan takut untuk masuk melabur, malah lebih parah apabila pelabur membawa keluar dana mereka daripada bursa saham Malaysia yang mengakibatkan kelumpuhan ekonomi negara,” tegasnya.
Oleh itu, dalam mentadbir sesebuah negara, ujar Mohd Zai, Anwar seharusnya lebih berani membuat keputusan bagi kepentingan dan kesejahteraan rakyat walaupun berhadapan dengan pelbagai ragam dan karenah menteri kabinetnya yang dikatakan mempunyai agenda tersendiri.
Di samping itu, beliau turut mencadangkan agar jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Ekonomi diserahkan kepada ‘pakar’ seperti Datuk Seri Johari Ghani berdasarkan kredibiliti dan pengalaman luar beliau dalam sektor korporat.
“Sewajarnya menteri yang tidak ‘perform’ wajar ditukar dengan yang lebih layak dan mampu melaksanakan kerja seperti Menteri Keterjaminan Makanan, Menteri Ekonomi dan Menteri Dalam Negeri,” ujarnya.
Beliau turut memberitahu, sudah sampai masanya Perdana Menteri membuat keputusan berani membentuk pasukan menteri yang layak serta mempunyai merit dan kepakaran bagi memulihkan keyakinan pelabur dan rakyat.
“Jika tidak, negara akan terus terbeban dengan masalah yang sedang menekan ekonomi negara tanpa ada solusi dan jalan keluar yang meyakinkan,” katanya.
Sementara, Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi pula berpandangan bahawa teguran Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu adalah berasas demi melihat kepada keadaan kehidupan rakyat pada hari ini.
“Rata-rata rakyat terkesan dgn keperluan harian kehidupan atau menanggung kos sara hidup yang kian meningkat saban hari,” ujarnya kepada HarakahDaily.
“Perdana Menteri seharusnya meletakkan prioriti rakyat dalam pentadbirannya bukannya survival politik semata-mata.
“Perlembagaan Malaysia dan kepentingan Islam harus menjadi asas utama dalam membuat apa juga keputusan pentadbiran negara tanpa meminggirkan kepentingan kerencaman kaum dan budaya hidup dalam negara Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2023




















