Kelantan tingkat KIAS capai status universiti penuh

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri berusaha memperkasakan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) bagi mencapai status universiti penuh dalam masa terdekat.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang, Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata,, kejayaan itu menjadi pemangkin kepada pembangunan di Kelantan, memandangkan pendidikan sebagai pelaburan sangat penting.

“Pembangunan modal insan menjadi tumpuan dan mesti selari dengan latihan kemahiran kepakaran profesional dan sebagainya.

“Serta mempunyai ciri-ciri pembangunan insani yang menerapkan pemahaman ilmu wahyu dan akidah yang kukuh, jujur, berakhlak mulia dan bertamadun,” katanya pada perasmian Majlis Istiadat Konvokesyen Kias Kali Ke-23 di Hotel Grand Riverview di sini hari ini.

Pada konvokesyen itu seramai 221 graduan menerima ijazah sarjana muda, diploma dan pengajian asasi.

Hadir sama Timbalan Menteri, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat.

Mohd Nassuruddin berkata, bagi mencapai status universiti penuh antara usaha yang perlu diberi perhatian membangunkan Pusat Pengajian Tinggi Antarabangsa.

Selain itu mengoptimumkan penglibatan pensyarah dalam penyelidikan pelbagai bidang melalui penerbitan jurnal, pembentangan dan penerbitan.

Seterusnya mengiatkan penerokaan bidang baharu melalui perkongsian kepakaran dan kerjasama strategik dengan kerajaan, swasta dan komuniti.

Usaha itu katanya sebagai pelengkap peranan tenaga pengajar yang menjadi panduan kepada masyarakat selain memastikan institusi itu menjadi pilihan rakyat.

“KIAS juga perlu fokus kepada kemenjadian holistik mahasiswa dengan keupayaan ilmu kemahiran insaniah dakwah dan keupayaan bahasa antarabangsa melalui pemerkasaan Pusat Bahasa Arab Antarabangsa.

“Sebelum ini terkenal dengan Pusat Bahasa Arab Nilam Puri, lantaran itu besar harapan kerajaan agar usaha tersebut akan membolehkan KIAS mencapai status universiti penuh dalam masa terdekat,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/2023

- Advertisement -