
ALOR SETAR: Graduan Akademi Saidatina Aisyah (APSA) diingatkan tidak mengabaikan tugas dengan parti dan perjuangan Islam setelah memperolehi diploma.
Ketua Dewan Ulamak PAS Malaysia, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, kemantapan ilmu graduan APSA boleh membantu untuk berdakwah kerana manusia boleh berubah (islah) dengan dakwah dan ilmu.
“Kemungkaran paling besar di dunia apabila terdapat patung-patung dan berhala di keliling Kaabah, tetapi Allah tidak benarkan ia dipecah atau dirobohkan sebaliknya diturunkan wahyu iaitu ayat Iqra’ (membaca).
“Dengan ilmu islah dapat dilakukan dalam kehidupan manusia,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Akademi Saidatina Aisyah (APSA) kali ke-3 di Kompleks PAS Kedah, hari ini.
Kata Ahmad lagi, Nabi Muhammad SAW memulakan jihadnya melalui lima perkara iaitu dakwah, pendidikan, harta, politik dan cabaran.
Selain itu baginda dibantu dua wanita aiitu Saidatina Khadijah sebelum hijrah dan Saidatina Aisyah sesudah hijrah.
“Aisyah paling penting kepada baginda. Cabaran di zaman baginda bukan sekadar menghadapi kabilah Arab sebaliknya kuasa besar dunia, Rome dan Parsi,” tambahnya.
Ahmad yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata, APSA merupakan sebuah akademi yang mengeluarkan graduan dari pelbagai latar belakang serta usia.
Justeru katanya, APSA mempunyai disiplin ilmunya tersendiri yang bukan sahaja melahirkan muslimah berilmu malah memiliki jati diri tinggi.
“Usaha ini bersesuaian dengan situasi terkini di mana PAS merupakan parti paling berpengaruh di arus perdana, sedang bersiap untuk mentadbir serta mengurus negara bersama Perikatan Nasional,” katanya.
Beliau juga berharap semua lepasan APSA dapat menguasai dan menghadam sirah berkenaan Saidatina Aisyah.
“Jangan masuk APSA sahaja tetapi tak baca sejarah Saidatina Aisyah,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 28/10/2023




















