
KUALA LUMPUR: Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) yakin Pasir Salak yang mempunyai kawasan sawah padi luas, terutama Felcra Seberang Perak berpotensi menjadi pengeluar beras utama, sekurang-kurangnya untuk Perak.
“Persoalannya, apakah tindakan jangka pendek kerajaan bagi meningkatkan pengeluaran beras negara.
“Pasir Salak mahu melihat pengeluaran 5.4 tan metrik per hektar sekarang dapat dinaikkan kepada lapan tan metrik per hektar,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, beliau mempersoalkan mengapa Malaysia tidak boleh menjadi pengeksport sayur dan durian, sebaliknya Singapura mengeksport semula hasil tanaman negara.
“Kita dapati 30 peratus sayur di Cameron Highlands dihantar ke Singapura, begitu juga beberapa produk lain seperti durian. Akhirnya, negara itu mengeksport semula hasil pertanian negara. Mengapa Malaysia tidak boleh menjadi pengeksport sayur dan durian,” katanya
Sementara itu, beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap warga asing bagi melindungi peniaga tempatan.
Menurutnya, kebanjiran warga asing, termasuk yang memegang pas pelarian Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di sekitar Kuala Lumpur dan membawa barang untuk berniaga di Pasar Borong Selayang menggunakan motosikal roda tiga tidak sepatutnya berlaku.
“Di manakah penguatkuasaan untuk mengambil tindakan kerana kita dapati masalah ini semakin kritikal. Jangan sampai mereka menguasai perniagaan di Pasar Borong Selayang,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/10/2023




















