Terengganu akan perluas zon bebas asap rokok

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu akan memperluaskan zon bebas asap rokok di semua daerah demi kesejahteraan rakyat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ini berbanding kini hanya terdapat di Taman Rekreaksi Batu Burok sahaja.

Menurutnya, perkara itu dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan bersama ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan di sini, semalam.

“Mesyuarat juga membincangkan bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada pembeli-pembeli rumah terbengkalai melalui projek swasta,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook beliau, malam tadi. Turut bersama dalam mesyuarat itu ialah timbalannya, Ir Saiful Azmi Suhaili.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat itu (foto atas) berkata, pelbagai perkara dibincangkan terkait soal polisi dan permasalahan yang berlaku melibatkan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan kesihatan.

Tambahnya, antara perkara yang menjadi keputusan dalam mesyuarat itu ialah kerajaan negeri akan mengkaji polisi dan dasar perumahan negeri supaya lebih mesra pelabur dan mesra kepada rakyat.

“Kempen Terengganuku Bersih juga akan diadakan pada tahun 2024 yang melibatkan semua aspek dan segmen masyarakat bagi memperindahkan negeri ini di samping menjadi daya tarikan pelancongan,” ujarnya yang juga Adun Wakaf Mempelam.

Selain itu, jelasnya kerajaan negeri akan mengkaji langkah yang terbaik bagi menangani kes pinjaman wang bersama pihak ah long.

“Insya-Allah, semoga mesyuarat ini akan menatijahkan hasil yang baik buat negeri dan rakyat Terengganu,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 25/10/2023

- Advertisement -