Palestin: Takbir sebagai tanda solidariti perjuangan

- Advertisement -

PERTAMANYA, Dewan Muslimat PAS Malaysia mengucapkan tahniah kepada penganjur perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine‘ pada hujung minggu lalu. Tahniah kerana keprihatinan anda kepada nasib rakyat Palestin.

Walau bagaimanapun, kami mendapat maklum balas daripada sebahagian peserta yang kecewa apabila pihak penganjur tidak membenarkan laungan takbir berkumandang dalam himpunan tersebut. Perkara ini sangat mendukacitakan kerana takbir adalah sebuah laungan yang membesarkan Allah S.W.T. Negara Palestin adalah negara Islam, begitu juga negara kita yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Tambah mendukacitakan, sepanduk yang menunjukkan penentangan terhadap Benjamin Netanyahu telah diarah turun. Laungan Allahuakbar turut dilarang kerana kononnya untuk menjaga perasaan bukan-Muslim. Sedangkan kalimah Allahuakbar adalah kalimah membesarkan Allah, dan tidak sesekali mengancam bukan-Islam.

Tidak cukup dengan itu, penganjur telah memanggil para demonstran sebagai Zionis hanya kerana mereka menggelar Perdana Menteri Israel itu sebagai syaitan dan penjenayah perang.

Sepatutnya para demostran diberi peluang untuk menyatakan sokongan mereka kepada Palestin dan menzahirkan kebencian mereka kepada Zionis Israel secara bebas. 

Luahan perasaan mereka tidak sepatutnya disekat begitu sahaja. Penyertaan semua rakyat Malaysia dalam isu Palestin sungguh membanggakan dan mengujakan dan kita patut mengakui apa yang dilakukan oleh Zionis Israel kepada rakyat Palestin sungguh tidak berperikemanusiaan dan kejam.

Dewan Muslimat PAS Malaysia dengan ini mengajak seluruh rakyat Malaysia yang ingin memperjuangkan isu Palestin dengan bersungguh-sungguh supaya turun beramai-ramai ke Himpunan Aman Solidariti Palestin pada 28 Oktober 2023, Sabtu ini. Kita zahirkan sokongan terhadap saudara kita di Palestin dan tunjukkan kebencian kepada kekejaman Zionis Israel. 

Sudah tentu dalam himpunan ini, laungan takbir dibenarkan secara bebas kerana ia ibarat suatu kekuatan buat para pendukung Islam seluruhnya.

Salam hormat. 

“Penyatuan Ummah Menuju Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 25/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -