Bajet 2024: TG Abdul Hadi peringat kerajaan agar tidak zalim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang [PN-Marang] memberi peringatan penting kepada pihak kerajaan terhadap perlakuan zalim dalam menguruskan bajet ke atas negara dan rakyat.

Peringatnya, Allah tidak mengasihi orang yang melampau, gelojoh dan takbur sedarkan ia diberi harta melimpah ruah hingga kunci-kunci gedung simpanan harta dipikul oleh kalangan orang-orang gagah perkasa.

Sebaliknya tegas beliau kurniaan Allah itu mesti digunakan untuk kebajikan secara rahmah dan adil bagi kehidupan di dunia dan akhirat, sekali gus menjauhi kejahatan dengan mengumpul kekayaan untuk diri secara jalan yang salah.

“Dikumpulkan harta dengan cara yang salah, membelanjakan dengan cara yang salah. Dikumpulkan harta melalui riba melalui penipuan, melalui hasil-hasil rasuah terhadap orang-orang yang memerintah.

“Dalam masa yang sama melakukan kezaliman terhadap rakyat, memainkan harga-harga keperluan rakyat menjadi kartel. Macam sekarang ni kartel beras, kartel daging, kartel macam-macam.

“Menyebabkan berlakunya inflasi, yang membebankan rakyat. Orang yang macam Qarun ni masih ramai. Dan kerajaan mesti bertindak terhadap mereka yang macam Qarun ni. Jangan takut. Ataupun kerajaan rasa malu kerana dia jadi penyumbang kepada kerajaan,” ujarnya.

Hujah beliau itu disandarkan daripada ayat 77 surah al-Qasas yang terlebih dahulu menjadi butiran utama dalam pembentangan Belanjawan 2024 oleh Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, minggu lalu.

Peringat beliau, Allah SWT telahpun melaknat pemerintah di masa lalu yang menggunakan kuasanya dan keupayaannya untuk menipu rakyat dan hanya membantu kalangan puaknya sahaja di sebalik kekayaan dikurniakan.

Menurut beliau, kaum Aad, Tsamud dan Firaun berkuasa dengan dikurniakan tamadun hebat serta bangunan-bangunan tinggi dan kekayaan melimpah ruah, tetapi melakukan kejahatan dengan semua dimiliki itu.

“Melakukan kezaliman terhadap rakyat. Hanya rakyat yang sokong dia saja diberi, dia tolong. Rakyat yang tak sokong dia, tak ditolong. Dia bertindak terhadap orang yang menentang dia. Kalau menentang dia, geledah ofis, geledah rumah, jadi kes.

“Kalau yang kawan sebelah terlalu dekat, macam-macam DNAA yang dah kena hukuman diampunkan, dibebaskan. Mungkin DNA dia sama. Kepada pembangkang tak diberi peruntukan kepada yang menyokong diberi peruntukan,” bidasnya.

Presiden PAS itu turut menegaskan betapa kuasa pemerintahan yang diberikan Allah SWT itu mesti digunakan untuk mendirikan solat, menunaikan zakat dan mencegah kemungkaran.

Jelas beliau mengupas bahawa ianya tuntutan bukan hanya membina bangunan, tetapi keutamaannya adalah pelaksanaan syiar, termasuk peruntukan kepada rakyat dan ekonomi serta menangani kejahatan. – HARAKAHDAILY 24/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -