
AGAK tertarik apabila mendengar pendedahan Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin dalam penggulungan beliau di penghujung Muktamar Tahunan PAS ke-69 di IDCC, Shah Alam yang berakhir semalam.
Awalnya beliau menyebut mengenai pimpinan PAS yang baharu, ramai juga yang menang tanpa bertanding. Namun beliau menyebut ada satu jawatan untuk dicalonkan dan kalau dipertandingkan, sukar untuk mencari calonnya. Jawatan itu ialah Mursyidul Am.
Beliau menyingkap kisah ketika almarhum Tok Guru Nik Aziz yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Besar Kelantan. Beliau dicadangkan untuk menjadi Mursyidul Am PAS, namun beliau tidak mahu dan menolak.
“Puas kami pujuk,” cerita Dato’ Hashim. “Kalau tak nak jadi Mursyidul Am, tunjuk kami seseorang yang layak dilantik jadi Mursyidul Am,” ujar beliau
Almarhum Tok Guru Nik Aziz tidak dapat menunjukkan sesiapa. Akhirnya beliau terpaksa terima jawatan Mursyidul Am juga.
Apabila Tok Guru Nik Aziz meninggal, pimpinan PAS bermesyuarat untuk bincang lantik Mursyidul Am yang baharu. Ketika itu timbalannya ialah Dato’ Dr Haron Din. Lalu dicadangkan supaya diangkat dan dilantik sahaja ke jawatan Mursyidul Am. Dato’ Dr Haron Din menolak dan tidak mahu dengan alasan beliau sakit.
Begitu juga, beliau diminta untuk tunjuk seseorang yang layak ke jawatan Mursyidul Am itu. Beliau senyap. Akhirnya beliau yang menjadi Mursyidul Am.
Apabila Dato’ Dr Haron Din meninggal dunia, Tuan Guru Dato’ Hashim dengan penuh semangat mencadangkan supaya diberi jawatan Mursyidul Am kepada timbalannya iaitu Ustaz Dato’ Ahmad Yaakob. Beliau merayu-rayu supaya tidak dilantik menjadi Mursyidul Am. Akhirnya Tuan Guru Hashim Jasin terpaksa menjadi Mursyidul Am.
Dalam pertubuhan Al-Ikhwan Al-Muslimin, jawatan Mursyidul Am ini juga wujud. Ia silih berganti dipegang oleh pimpinan gerakan Islam itu. Melihat kepada nama jawatan itupun, ia dianggap sesuatu yang besar. Mursyid bererti pembimbing. Al-Am bererti umum. Dalam bidang tasauf, kesufian dan akhlak, diajar kepada para penuntut ilmu dan para ‘salikin’ mencari guru yang mursyid, yang boleh membimbing anak muridnya melalui satu jalan dan latihan kerohanian membaiki diri dan menuju Allah.
Dalam konteks PAS sebagai gerakan Islam, Mursyidul Am menjadi pembimbing kepada jemaah, pimpinan, pendokong dan ahlinya dari sudut peribadi akhlak, dan pandangan politik.
Alhamdulillah, setakat ini mereka yang meninggal dunia yang telah menjadi Mursyidul Am telah menunjukkan bimbingan terbaik sesuai dengan jawatan tersebut.
Memanglah, kalau mahu mencari kesempurnaan, ia hanya milik Allah. ‘Al-kamalu lillahi wahdahu.’ Kita pula berada 1,500 tahun jauh dari Nabi SAW. Namun kita bersyukur kerana PAS ini masih punya pimpinan yang terbaik sebagai gerakan Islam dan politik, bukan sahaja dalam negara tetapi diakui juga oleh gerakan Islam antarabangsa.
Yang penting pimpinan di bawah Mursyidul Am, sehingga di peringkat cawangan, jangan merengek-rengek dan melobi meminta jawatan. Jika dilantik, pikullah dengan penuh amanah. Jika tiada yang layak, dan anda memang layak, bersedialah untuk menerimanya. Al-Quran, hadis dan sirah tetap menjadi panduan dalam menerima atau menolak sesuatu jawatan itu.
ولكل مقام مقال
Bagi setiap tempat itu ada pandangan (yang sesuai dengannya). – HARAKAHDAILY 23/10/2023
Penulis ialah perwakilan PAS Kawasan Kemaman pada Muktamar Tahunan PAS ke-69.











