
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi tumpuan terhadap sektor pelancongan domestik bagi membantu merancakkan ekonomi negara.
Sehubungan itu, Zahari Kechik (PN-Jeli) berharap kerajaan dapat memberikan inisiatif bagi memacu semula sektor pelancongan.
“Setiap negeri mempunyai daya tarikan keunikan tersendiri dalam kepelbagaian adat resam kesenian dan budaya, dialek, muzik, kraftangan dan makanan.
“Misalnya di Kota Bharu, sebut sahaja Pasar Siti Khadijah, tergambarlah kepada kita di Kelantan, Pasar Siti Khadijah diistilahkan sebagai tempat syurga membeli belah.. serba serbi ada di situ,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut memohon agar kerajaan dapat mempertimbangkan peruntukan bagi menaik taraf kawasan tersebut untuk memberi keselesaan kepada pengunjung dan peniaga.
Sementara itu, katanya Jeli kaya dengan keindahan alam semula jadi.
“Maka sewajarnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menumpukan kawasan begini untuk meningkatkan industri pelancongan dan sekali gus merancakkan kegiatan ekonomi setempat.
“Kerajaan dimohon supaya memperbaiki kualiti perkhidmatan pelancongan dan meningkatkan kemudahan infrastruktur seperti jalan masuk, tandas awam, surau dan gerai jualan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/10/2023











