
SHAH ALAM: Mereka yang masih menuduh PAS sebagai ekstrem kepada orang bukan-Islam, tidak lain hanya musuh politik yang sengaja mencipta persepsi untuk mencemar imej dan kewibawaan PAS di kaca mata orang bukan-Islam.
Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), Balasubramaniam Nachiappan menegaskan, sikap PAS terhadap bukan-Melayu sebenarnya telah diulang-ulang oleh para pimpinan parti itu yang mahukan penyatuan semua.
Bidasnya, mereka yang membayangkan PAS sebagai parti anti bukan-Islam sebenarnya cemburu dengan keutuhan dan kekuatan PAS di mana kini semakin diterima oleh rakyat Malaysia khususnya kalangan masyarakat Melayu sendiri.
“Ketegasan PAS terhadap aspirasi penyatuan ummah dan bersama dengan orang bukan-Islam yang tidak ekstrem mencerminkan pendirian PAS yang tidak memusuhi orang bukan-Islam seperti yang didakwa musuh politik.
“Walaupun dasar PAS adalah Islam namun PAS tetap berpegang kepada konsep tiada paksaan dalam beragama walaupun Islam berkuasa sepenuhnya di dalam pemerintahan,” ujarnya pada sesi ucapan penggulungan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-69 di IDCC, di sini.
Jelas beliau, keadilan dipraktikkan PAS berjaya dibuktikan sebagaimana dalam pemerintahan kerajaan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis di mana tiada penganut agama lain dihalang dalam kepercayaan mereka.
Juga katanya, tiada rumah ibadat dirobohkan atau kegiatan ekonomi disekat atau masyarakat bukan-Islam menjadi sengsara dan terseksa di bawah Kerajaan PAS di negeri-negeri tersebut.
“Tahun depan DHPP akan menyambut ulang tahun ke-20 dan mengambil kira bahawa 11 Mac 2004 adalah asas kepada penubuhan DHPP bermula dengan pelancaran Kelab Penyokong PAS oleh almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kita sayangi.
“Ini adalah satu perjalanan yang panjang jatuh bangun dengan pelbagai catatan sejarah. Sudah pasti banyak mendewasakan DHPP untuk menjadi sayap PAS yang lebih kuat dan tersusun sepertimana yang telah diarahkan oleh Tuan Guru Presiden.
“Supaya memperkemaskan sistem pentadbiran organisasi secara lebih sistematik dan efisien di semua peringkat. DHPP tetap akan menuruti dengan aturan dan peraturan DHPP yang telah menjadi panduan menggerakkan organisasi,” ujarnya.
Tambah beliau, sebagaimana arahan Presiden, DHPP akan terus menggerakkan agenda perpaduan nasional melalui kerangka perpaduan ummah dan slogan ‘Islam for all’ khususnya bagi mendekati golongan bukan-Islam.
Beliau menyatakan tekad DHPP memadamkan rakyat Malaysia bahawa Islam menganjurkan supaya perlu berlaku adil kepada semua. – HARAKAHDAILY 22/10/2023




















