PN berpotensi menang Kerajaan Pusat dan beberapa negeri lagi

Sokongan rakyat perlu diurus dan diraikan dengan gerak kerja

- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS yakin berpotensi besar memenangi Perak, Pahang, Selangor dan tidak mustahil juga Negeri Sembilan pada PRU akan datang berdasarkan gelombang sokongan rakyat kepada Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS kali Ke-69 di IDCC Shah Alam, di sini sebentar tadi.

Namun peringat beliau, gelombang rakyat tersebut perlu diurus dengan PAS membina kekuatan terutama organisasi iaitu memperkukuh dan memperkasakan penubuhan PAS Cawangan serta pertambahan keahlian.

Mengulas mengenai agihan kerusi bersama parti-parti rakan komponen PN yang dibangkitkan perwakilan, beliau menjelaskan bahawa persahabatan muafakat politik menuntut hal itu dilakukan secara rundingan.

“Ada kerusi yang kita nak, kadang-kadang tak dapat. Ada yang kita tidak sangka tiba-tiba dapat. Yang paling pelik sekali yang tak dapat itu rasa menang. Yang dapat tak rasa menang.

“Sebenarnya kita bekerja sebagai satu team kita perlu perkukuhkan muafakat politik dalam PN, maka kerana itu di peringkat kawasan perlu diperkukuhkan diperkasakan agenda ini,” ujarnya menyeru perbanyakkan Cawangan dan gerak kerja.

Tambah beliau, rakyat sudah menunjukkan gelombang mahu kepada perubahan, oleh itu kesediaan parti mendukung dan menyambut hasrat tersebut mestilah diadakan sebaiknya selaku jentera parti.

Beliau memberi contoh kawasan FELDA yang kini telah berubah menjadi lubuk kekuatan kepada kerusi-kerusi ditandingi PN sebagaimana di Pahang hingga memberi kemenangan kepada calon PN.

“Maknanya kita punya potensi besar untuk kita mengambil alih menerajui Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri,” ujarnya turut menghargai paradigma dalam perbahasan usul kali ini.

Menurutnya, perwakilan tidak hanya mengusul dan berbahas cakupan hal-hal ekonomi, kemiskinan rakyat, kos sara hidup dan ‘State-Government 4’ (SG4), tetapi juga berkenaan isu alam sekitar seperti pemanasan global.

Sedangkan katanya, isu seperti itu dahulunya dijuarai NGO-NGO sedangkan ianya adalah isu merentasi sempadan politik, negara, kaum dan agama sekali gus menunjukkan PAS telah berjuang isu internasional.

Beliau turut menyatakan mengenai peranan gerak kerja PAS ketika bencana alam telah menjadi dakwah yang menarik perhatian dan sokongan hingga ada ahli-ahli Umno menyertai PAS kerana melihat giatnya parti ini membantu.

Oleh itu beliau berharap amilin PAS termasuk para pimpinan dan ADUN serta ahli Parlimen terus menjadi contoh dalam masyarakat dalam mendekati mereka menangani pelbagai perkara atau masalah. – HARAKAHDAILY 22/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -