
SHAH ALAM: Dewan Ulamak PAS Pusat mahu negeri-negeri yang ditadbir PERIKATAN NASIONAL (PN) memperkasakan program ilmu bagi menyemarakkan program dakwah.
Wakilnya Ustaz Ahmad Marzuki Mat Yusuf berkata, di empat negeri terbabit sudah ada lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai datang menuntut ilmu setiap minggu.
Katanya, di Kelantan ada Medan Ilmu di Kota Bharu, Masjid Rusila di Marang Terengganu, Seri Metaloon (Alor Setar, Kedah) dan kediaman Menteri Besar di Perlis.
“Keempat-empat negeri tersebut majlis ilmu menjadi destinasi tumpuan pelancong yang bertandang ke negeri tersebut.
“Kita terus perkasakan lagi program dakwah supaya masyarakat faham Islam secara lebih menyeluruh,” katanya ketika membahas ucapan dasar presiden pada hari kedua muktamar, hari ini.
Beliau juga berkata, jihad siasah tersebut begitu penting bagi membolehkan masyarakat memahami Islam yang meliputi semua aspek.
Kata beliau, apa yang berlaku sebelum ini ada pihak yang menolak PAS kerana mereka tidak faham mengenai siasah Islam.
Oleh itu katanya, sesuai dengan ucapan dasar presiden untuk membolehkan ulama berperanan menjadi pemandu kepada kerajaan.
“Kita telah diberi amanah oleh rakyat di empat negeri diterajui PAS sebagai model pentadbiran yang adil dan berkebajikan berasaskan keimaman kepada Allah Taala.
“Melalui usaha itu akan dapat merealisasikan negeri yang diberkati Allah. Ia juga hasil nasihat alim ulama, negarawan terkenal termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.
Menurutnya juga, jihad pendidikan yang diteroka PAS bermula dari Tasti, Pasti, SRITI, SMITI, pondok dan kolej pendidikan membuktikan PAS menjuarai sektor tersebut di negara ini.
Beliau juga berkata, dalam setiap program tidak boleh ditinggalkan program derma jihad termasuk di negeri (SG4) kerana ia ada keberkatan yang kita tidak sedari. – HARAKAHDAILY 21/10/2023











