
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Kelantan dipimpin PAS yang membawa dasar ‘Membangun Bersama Islam’ telah menjadi model berkebajikan di semua peringkat sebagaimana tuntutan kebajikan dalam Ucapan Dasar Presiden PAS.
Perwakilan PAS Negeri Kelantan, Ustaz Mohd Asri Mat Daud memberikan contoh bantuan Rumah Dhuafa’ sejak tahun 2008 hingga tahun ini sebanyak 1,323 unit dengan kos RM54 juta, selain 7,560 rumah pula dibaik pulih melibatkan kos RM74.7 juta.
Jumlah itu beritahunya, tidak termasuk bantuan rumah menerusi peruntukan atau tabungan lain, selain Kelantan juga aktif menyampaikan sumbangan kitalah iaitu khairat kematian dan perlindungan warga emas.
“Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM29.2 juta yang melibatkan 26,703 rakyat Kelantan sejak daripada tahun 2018 sehingga tahun ini. Kelantan juga turut memperkenalkan Tabung Serambi Makkah. Tabung ini ditubuhkan bagi membantu rakyat Kelantan.
“Iaitu yang ditimpa bencana dengan peruntukan bantuan seperti kebakaran, banjir, ribut dan lain-lain dan jumlah keseluruhan dana yang telah disalurkan semenjak tahun 1991 hingga Jun 2023 adalah sebanyak RM73.6 juta.
“Pembelaan rakyat miskin juga menjadi agenda keutamaan dengan memperuntukkan bantuan _one-off_ yang membantu kesempitan hidup rakyat akibat daripada tekanan ekonomi dan sara hidup sejak tahun 2019 hingga 2023 kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak RM16.4 juta,” ujarnya.
Beliau turut menyenaraikan beberapa lagi peruntukan penting yang dimanfaatkan untuk kepentingan kebajikan rakyat negeri Kelantan dengan pembiayaan sepenuhnya oleh pihak Kerajaan Negeri.
Pun begitu tegasnya, ruang lingkup kebajikan tidak tertumpu kepada peruntukan kewangan dan bantuan, tetapi Kerajaan Negeri Kelantan juga memberikan manfaat pendidikan.
Jelas beliau, menerusi bidang tersebut kerajaan berjaya mentarbiah generasi pelapis dan ulama amilin melalui 93 sekolah agama dan sekolah tahfiz yang diselia melalui sebuah yayasan.
“Komitmen yang besar juga di bawah Kerajaan Negeri Kelantan adalah pada segmen memperkasa dan mempertahan Enakmen Jenayah Syariah yang telah dicabar kesahihannya di mahkamah.
“Kerajaan negeri telah menggunakan saluran mahkamah bagi menghadapi petisyen tahap dan masih dalam tempoh perbicaraan namun bagai satu solidariti sesama rakyat Kelantan insya-Allah akan menganjurkan himpunan munajat pertahan syariah,” ujarnya.
Kelantan juga menurutnya, menjadi model perpaduan kaum, selain juga menjadi negeri yang mewujudkan perlindungan kepada kaum wanita teraniaya atau memerlukan bantuan, termasuk juga kepada kanak-kanak.
Antara lain, Kelantan beritahunya, mempunyai dasar Orang Kelainan Upaya (OKU) Muqarrabun, termasuk terbaharu dasar kualiti lelaki sebagai ketua rumahtangga, selain menjadi negeri yang memberi peruntukan kepada pembangkang. – HARAKAHDAILY 21/10/2023











