Pentadbiran antirasuah perjuangan utama Pemuda, Ameerah PAS

Zuraida Md Nor
- Advertisement -

SHAH ALAM: Pentadbiran antirasuah perlu dijadikan agenda utama dalam perjuangan Pemuda dan Ameerah PAS.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Zuraida Md Nor berkata, golongan muda pada masa ini mengimpikan kerajaan yang bersih dan stabil serta bebas daripada sebarang  amalan rasuah.

“Golongan muda memainkan peranan yang penting dari segi politik dan ekonomi dalam menjadikan negara Malaysia sebagai negara yang sejahtera.

“Kita sendiri boleh lihat ternyata golongan muda telah memainkan peranan penting dalam membantu PAS dan Perikatan Nasional dalam memenangi banyak kawasan di Pilihan Raya Negeri (PRN) dan berjaya menubuhkan State-Government 4 (SG4),” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian dalam Usul 2: ‘Memacu Gelombang Sokongan Anak Muda kepada PERIKATAN NASIONAL’, dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-69 di IDCC, di sini, hari ini.

Menurut Zuraida lagi, golongan muda sentiasa membawa perubahan dalam politik yang mana mereka inginkan kerajaan yang bersih dan stabil serta mempunyai matlamat yang jelas. 

Kata beliau, sejarah sendiri membuktikan bahawa golongan muda yang telah banyak menyokong perjuangan Rasulullah SAW yang mana sebahagian daripadanya ialah Anas Ibn Malik r.a., Ibnu Mas’ud dan Abdullah Ibn Abas r.a..

“Oleh sebab itu generasi-generasi muda perlu diberikan ruang menjadi penggerak penting dalam pembangunan politik dan ekonomi seperti mana yang dinyatakan oleh pembahas usul yang lain,” tegasnya.

Zuraida tampil sebagai penyokong kepada Usul 2 berkenaan yang dicadangkan oleh Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Hafez Sabri.

Tambah beliau, perkara sebegini membuktikan bahawa golongan muda bukan bersifat mentah dalam dunia politik seperti mana yang dianggap oleh sebahagian golongan.

“Golongan muda PAS yang memiliki kelayakan akademi yang baik dan penyampaian hujah-hujah dengan matang serta mempunyai pandangan yang kritikal yang ditunjukkan oleh golongan ini merupakan ciri-ciri yang diinginkan oleh golongan muda pada masa ini.

“Perkara sebegini cukup membanggakan kita yang mana mereka semua ini lahir daripada warga PAS kita alhamdullillah,” hujahnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar setiap ahli PAS untuk mendekatkan golongan muda kepada kepentingan politik dengan penuh hikmah. 

“Masih ada dalam kalangan golongan muda yang mempunyai kesedaran tersebut tetapi terikat dengan bebanan hutang dan periuk nasi yang perlu dipertahankan yang mana golongan sebegini perlu dibantu. 

“Maka, kita semua perlu menyantuni mereka supaya mempunyai kesedaran tersebut yang mana mereka juga boleh menjadi penggerak utama melalui kertas undi senyap,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2023

- Advertisement -