
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menuduh Hamas melakukan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel pada 6 Okt lalu untuk menggagalkan normalisasi hubungan diplomatik antara Arab Saudi dan Zionis.
Bercakap pada majlis kutipan derma kempen di Washington pada Jumaat (20 Okt), waktu AS, Biden berkata Hamas melakukan serangan itu sebahagiannya untuk mengganggu usahanya untuk menormalisasilkan hubungan Israel-Saudi.
“Tahu tak? Saudi mahu mengiktiraf Israel … menyatukan Timur Tengah,” kata Biden, memberitahu penderma bahawa kumpulan pejuang Palestin tahu beliau ‘akan bersetuju pandangan dengan Saudi’, lapor Al Jazeera.
Terdahulu, Biden pada minggu lalu ketika muncul dalam program 60 Minutes di CBS berkata bahawa prospek normalisasi Saudi-Israel masih ‘masih berjalan’ tetapi ia akan mengambil masa, selepas pegawai kerajaan Saudi dilaporkan menghentikan perbincangan dengan Israel selepas serangan Hamas pada 6 Okt dan pengeboman Israel dalam serangan balas di Semenanjung Gaza.
Riyadh telah melahirkan kebimbangan mengenai nasib rakyat Palestin di Gaza, yang telah dipukul oleh serangan udara Israel yang menurut pegawai Palestin telah membunuh sekurang-kurangnya 4,137 nyawa orang awam.
Saudi sebelum ini menyokong Perjanjian Abraham yang diuruskan oleh AS yang menyaksikan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain menormaisasilkan hubungan dengan Israel pada 2020, tetapi setakat ini, ia tidak mengiktiraf Israel sendiri.
Pentadbiran Biden telah mendesak untuk menormalisasikan hubungan antara Israel dan Saudi – dua sekutu Washington yang paling berkuasa di Timur Tengah, dan terdapat tanda-tanda hubungan hangat antara kedua-dua pihak dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman memberitahu Fox News pada Sept lalu bahawa Riyadh semakin hampir untuk menormalisasikan hubungan ‘setiap hari’ dengan Israel tetapi penyelesaian terhadap isu Palestin akan menjadi penting untuk mencapai kesepakatan itu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula sebelum inimemberitahu Biden bahawa perjanjian normalisasi itu berada ‘dalam jangkauan’ semasa perbincangan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York bulan lepas.
Israel dan Saudi juga antara kira-kira dua dozen negara yang bersetuju untuk bekerjasama dalam koridor kereta api dan perkapalan yang diumumkan oleh Biden pada sidang kemuncak G20 di India. – HARAKAHDAILY 21/10/2023




















