PAS agen penerangan utama isu pemanasan global

Siti Farah Mohamed
- Advertisement -

SHAH ALAM: Isu ais laut di Lautan Artik yang dijangka bakal cair pada musim panas tahun 2060 turut menjadi usul yang dibentangkan pada hari kedua Muktamar PAS ke-69 yang mencadangkan PAS sebagai agen penerangan utama dalam isu pemanasan global dan perubahan iklim.

Pembentang usul dari PAS Kawasan Pandan, Siti Farah Muhammad berkata, saintis Barat telah meramalkan perkara itu hasil kajian saintifik yang telah dilakukan mereka.

- Advertisement -

“Litupan ais Greenland dan Antartika Barat akan mencair dan paras air laut akan meningkat akibat daripada fenomena perubahan iklim yang sedang berlaku sekarang secara pantas pada masa ini.

“Perubahan iklim biasanya berlaku dalam tempoh 10 ribu tahun. Tetapi kini perubahan iklim berubah dalam tempoh 100 tahun sahaja, berjarak hanya dua generasi sahaja.

“Tahun 2016 mencatatkan suhu permukaan yang terpanas sejak penyimpanan rekod moden bermula iaitu pada tahun 1980,” jelasnya.

Beliau mengutarakan perkara tersebut dalam sesi perbahasan usul dalam muktamar berkenaan yang berlangsung di Dewan Ideal Convention Centre Shah Alam (IDCC), di sini, hari ini.

“Tujuan isu ini dibawa sebagai usul adalah untuk memacu PAS bergerak ke arah menjadi agen utama penerangan berkaitan isu dalam isu pemanasan global dan perubahan iklim,” katanya.

Siti Farah juga berkata, pemanasan global atau pemanasan sejagat merujuk kepada peningkatan suhu atmosfera bumi secara berterusan akibat daripada kesan rumah hijau yang melibatkan pertambahan gas karbon dioksida, klorofluorokarbon dan bahan-bahan pencemar yang lain yang menyebabkan peningkatan suhu dunia.

“Kesan-kesan pemanasan global ini dan perubahan iklim telah memberi kesan yang besar kepada bumi dan kehidupan manusia. 

“Pemanasan global dan perubahan cuaca telah menimbulkan masalah kepada kita semua seperti bencana-bencana yang ekstrem atau melampau,” ujarnya.

Menurutnya lagi, antara contoh yang berlaku ialah seperti banjir yang melanda menjadi lebih ekstrem dari sebelum ini seperti lebih besar, lebih kerap, lebih panjang tempohnya dan berlaku dengan mengejut.

Berdasarkan apa yang berlaku ini, beliau mewakili PAS Kawasan Pandan mengusulkan agar PAS Pusat berusaha untuk meningkatkan kesedaran rakyat supaya mengubah gaya hidup agar dapat menyumbang kepada usaha-usaha menangani pemanasan global dan perubahan iklim ini.

“Kami yakin dan percaya sebagai sebuah parti politik yang dihormati PAS berupaya memberi kesedaran kepada rakyat agar kesan pemanasan global ini dan perubahan iklim tersebut dapat diatasi,” katanya.

Usul dibawa oleh Siti Farah yang disokong oleh Perwakilan PAS Tangga Batu, Bakri Jamaluddin telah diterima dan diluluskan oleh muktamar kali ini. – HARAKAHDAILY 21/10/2023

- Advertisement -