
SHAH ALAM: Perwakilan dan pemerhati yang menghadiri muktamar PAS di IDCC di sini, petang ini, dikejutkan dengan berita tiga Muslimat PAS Sungai Petani meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
Pengerusi Tetap Muktamar, Senator Hussin Ismail ketika memaklumkan perkara itu berkata, kemalangan berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang dari muktamar di sini ke Sungai Petani, Kedah.
“Mereka melihat sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan dan kemudian berhenti di tepi lebuh raya untuk membantu.
“Bagaimanapun ketika mereka cuba membantu, tiba-tiba dilanggar sebuah kereta lain,” katanya.
Difahamkan dalam kemalangan di Behrang, Perak, dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi yang parah meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
“Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Sungai Petani, Ustazah Taibah Sulaiman dan Ketua Ameerah PAS Sungai Petani, Nor Fatihah Nabilah Bukri.
“Penolong Setiausaha 1 Dewan Muslimat PAS Sungai Petani, Najihah Amzi, meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuju ke hospital,” ujarnya.
Mereka menghadiri Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia di IDCC, semalam.
Berikutan itu, Hussin mengajak perwakilan dan pemerhati membaca al-Fatihah dan mendoakan semoga roh ketiga-tiga pejuang berkenaan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. – HARAKAHDAILY 20/10/2023











