Kejutan sambutan hari lahir buat Presiden PAS

- Advertisement -

SHAH ALAM: Muktamar Tahunan PAS kali ke 69 yang berlangsung petang ini membuat kejutan dengan ‘agenda khas’ sambutan hari lahir buat Presiden parti itu, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

Perkara ini diumumkan Pengerusi Tetap Muktamar, Senator Husin Ismail sebaik sahaja selesai ‘Agenda Kedua – membentang dan menerima penyata dan laporan’.

Beberapa orang petugas kemudiannya membawa kek hari jadi ke atas pentas yang menempatkan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dalam muktamar yang berlangsung di Dewan Ideal Convention Centre (IDCC), di sini.

“Saya mempersilakan Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin untuk menjemput Tan Sri Tuan Guru Presiden untuk menyempurnakan acara,” katanya.

Tuan Guru Abdul Hadi dengan diiringi Takiyuddin kemudiannya menyempurnakan acara dengan memotong kek hari jadi tersebut.

Beliau yang kini berusia 76 tahun dilahirkan pada 20 Oktober 1947 bersamaan 6 Zulhijjah 1366 di Kampung Rusila, Marang, Terengganu. – HARAKAHDAILY 20/10/2023

- Advertisement -