‘Langkah ke Parlimen dapat dukungan rakyat, ke Putrajaya masih terhalang’

- Advertisement -

SHAH ALAM: Pencapaian PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) menjadikan parti itu dilihat oleh kawan dan diintai oleh lawan.

- Advertisement -

“Marilah kita melafazkan alhamdulillah, tanda kesyukuran kepada Allah SWT kerana atas kurnia-Nya, kita telah mencapai kemenangan dan kejayaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) apabila berjaya meningkatkan sokongan rakyat, khususnya daripada kalangan pengundi muda,” kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau menyatakan demikian semasa menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-69 di IDCC di sini, hari ini.

Katanya, kemenangan yang sangat mencabar itu tidak mudah dicapai, kerana ia merupakan hasil pengorbanan dan perjuangan yang panjang bertali arus, bermula sejak beberapa dekad dan abad yang lalu.

“Namun begitu, aqidah perjuangan kita yang berprinsipkan kepercayaan kepada Allah SWT tetap yakin kepada janji-Nya di dunia dan akhirat.

“Kini, kita berkewajipan mengisi kemenangan sekadar kemampuan yang dicapai, walaupun tidak berjaya sepenuhnya. Cabarannya lebih besar daripada mencapai kemenangan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.   

Beliau berkata, antaranya ialah melaksanakan tuntutan dalam firman Allah SWT dalam surah al-Hajj, ayat 41 yang bermaksud: “(Mereka itu) orang-orang (Islam) yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar. Dan ingatlah kepada Allah jua kembali segala urusan.”

Tambahnya, walaupun PAS belum mencapai tahap tamkin (berkuasa) sepenuhnya dalam kerajaan pusat, tetapi PAS telah berjaya menguasai empat kerajaan negeri, memperoleh jumlah ahli parlimen terbesar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga besar jumlahnya.

“Dalam erti kata lain, langkah kita ke Parlimen telah berjaya mendapat dukungan rakyat. Namun, langkah kita ke Putrajaya masih lagi terhalang.

“Maka, kita wajib berpegang kepada para ulama yang menegaskan (maksudnya): Apa yang tidak dapat dilakukan semuanya, jangan pula ditinggalkan semuanya,” ujarnya lagi.

Justeru, beliau berkata, jadikan pencapaian tersebut sebagai pangkalan yang kuat bagi meneruskan perjuangan untuk mencapai kemenangan sepenuhnya, sepertimana yang dijanjikan oleh Allah SWT.

“Maka, kita hendaklah mengisi kemenangan yang telah dikurniakan oleh Allah SWT ini dengan sifat rabbani yang sentiasa berhubung dengan Allah SWT, melaksanakan keadilan dan berkebajikan, dalam negara yang berdaulat dan berkuasa melaksanakan kewajipan dengan sempurna, serta berwawasan akhirat,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 20/10/2023

- Advertisement -