
SHAH ALAM: Perwakilan dari Melaka, Ustaz Jumary Jaffar mencadangkan negeri-negeri yang dikuasai PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) perlu memastikan pendakwah dalam kalangan ulama mendapat tauliah mengajar daripada pihak berkuasa agama di negeri terbabit.
Katanya masalah tauliah tidak sepatutnya berbangkit di negeri-negeri dikuasai PN bagi membolehkan syiar dakwah terus berkembang.
“Dewan Ulamak Melaka juga terhutang budi arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan penubuhan Maahad ad Dakwah di Melaka.
“Saya juga dengar Maahad ad Dakwah juga di Kelantan dan diharap terus berkembang bagi melahirkan lebih ramai mendakwah,” katanya ketika membahas ucaptama Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sempena Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat ke-62 di sini hari ini.
Perwakilan Perak pula menyifatkan tenaga pendakwah kita masih berdepan dengan dilemma ‘try atau error’ kerana tiada entiti sendiri.
Katanya juga beliau bimbang ada pendakwah yang menggunakan kaedah pop kerana mahu sesuai dengan suasana semasa.
Bagaimanapun kata beliau agenda musuh yang perlu diteliti kerana banyak kajian Barat yang sengaja mahu mempertembungkan dalam kalangan sesama ulama.
Perwakilan Negeri Sembilan, Ustaz Abdul Hadi Isa pula mencadangkan modul AKIFI disediakan oleh Dewan Ulamak dan bukannya mengharap agenda itu hanya dijuarai Dewan Muslimat sahaja. – HARAKAHDAILY 19/10/2023




















