Lebih 300 hadir Konvensyen As-Sabiqun

- Advertisement -

SHAH ALAM: Konvensyen As-Sabiqun Kali Ke-3 bertema ‘Pemangkin Generasi Istiqomah’ telah menghimpunkan lebih 300 ahli As-Sabiqun dan As-Sabiqat seluruh negara di Dewan Chempaka, Hotel De Palma, di sini.

- Advertisement -

Tema hijau putih memenuhi dewan menambahkan ceria dan kesegaran para As-Sabiqun dan As-Sabiqat berada sehari di hotel berkenaan.

Kehadiran perasmi iaitu Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang, Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi menambah seri Konvensyen As-Sabiqun.

Konvensyen dibuka dengan bacaan al-Quran alunan Johan Tilawah Al-Quran Negeri Selangor, Ustaz Izzat Azizi Zainal diikuti nyanyian lagu Negaraku dan PAS.

Majlis gilang gemilang itu turut menyaksikan pelancaran buku ‘Jasawan PAS Jilid 2′ oleh Dato’ Nassuruddin. Beliau turut melancarkan kutipan derma Palestin. Sebelum itu Pengerusi As-Sabiqun Pusat, Dato’ Dr. Mahfodz Mohamed telah melancarkan kutipan derma As-Sabiqun.

Tayangan montaj mempaparkan aktiviti As-Sabiqun antaranya kempen pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri dan pilihan raya kecil (PRK) di Dun Simpang Jeram, Dun Pelangai serta ziarah mahabbah.

As-Sabiqun ditubuhkan pada 14 Oktober 2017. Sidang As-Sabiqun pertama dilancarkan di Negeri Pahang oleh Allahyarham Haji Subky Latif.

Sidang As-Sabiqun yang dicadangkan untuk menjadi dewan bertambah maju apabila Konvensyen kali ini mengadakan sesi perbahasan ucapan Pengerusi As-Sabiqun yang diwakili setiap negeri.

Ahli Jawatankuasa As-Sabiqun Pusat turut membuat kejutan menyediakan dua biji kek sempena Ulang Tahun Kelahiran Dato’ Dr. Mahfodz Mohamed.

Turut merai konvensyen Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Azman Ibrahim dan Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin. – HARAKAHDAILY 19/10/2023

- Advertisement -