Tentera Israel guna senjata nuklear perangi Gaza?

Model jet tempur Kfir seperti yang digunakan oleh tentera udara Israel. (FOTO FAIL: Sky News)
- Advertisement -

SEMENAJUNG GAZA: Bedilan roket telah dilancarkan ke Israel, menyalakan api di langit pada 6 Okt 2023 oleh pejuang Hamas telah mengejutkan penempatan haram Zionis itu.

Akibatnya, Angkatan Tentera Israel (IDF) membalas  melalui serangan udara yang telah menghujani Semenanjung Gaza yang padat dengan lebih 2 juta penduduk itu bermula 7 Okt.

Konflik yang semakin meruncing dan terbaharu, apabila IDF menyerang dua buah hospital di Gaza menyebabkan sekurang-kurang 500 orang awam terkorban menyaksikan kedua pihak yang mempunyai keupayaan ketenteraan yang sangat berbeza itu bertembung dalam perjuangan yang telah menyebabkan lebih seribu orang terkorban.  

- Advertisement -

Israel dikatakan adalah tentera yang lebih konvensional setanding dengan Amerika Syarikat atau Britain – dengan perbezaan ketara bahawa ia mengendalikan kerahan tenaga;  manakala Hamas adalah sebuah organisasi pejuang mujahid Islam yang sangat lengkap, lapor Sky News.

Menurut laporan Sky News yang menemu bual pakar ketenteraan, mendapati kedua-dua IDF dan Hamas memiliki senjata dan peralatan perang berbeza.

Teknologi perang tentera Zionis Israel

“IDF mempunyai sejumlah besar kereta kebal dan kenderaan berperisai kerana ia telah memperlihatkan ‘perbezaan nyata’ apabila menyeberangi sempadan ke wilayah lain,” dedah Prof Michael Clarke memberitahu Sky News.

Tambahnya, kereta kebal Merkava IV milik IDF menyamai  kereta kebal Leopard 2 Jerman yang terkenal dengan penggunaannya membantu Ukraine dalam perang dengan Rusia.

 Dalam versi  terkininya, Merkava IV termasuk kelengkapan teknologi sistem kawalan kebakaran yang dipertingkatkan dengan keupayaan untuk bertahan daripada serangan helikopter. (FOTO: Sky News)

“Direka dan sebahagian besarnya dikeluarkan di Israel, kereta kebal itu menampilkan perisai hadapan yang berat untuk memberikan perlindungan maksimum kepada empat anak kapalnya dan dipersenjatai dengan meriam utama 120mm serta persenjataan sekunder,” ujarnya.

Dari segi kuasa perang udara, IDF menurut Clarke, menggunakan jet pejuang Kfir, iaitu pesawat perang pelbagai peranan yang dibina berdasarkan pesawat Mirage buatan Perancis.

“Tentera udara Israel  juga mempunyai sejumlah jet canggih,  F-35 Lightning II yang diperoleh dari Amerika Syarikat.

“Tentera Israel secara amnya berteknologi tinggi dan sangat inovatif,” ujar Clarke sambil menambah, IDF juga kerap menggunakan teknologi dron.

“Rahsia terbuka apabila melibatkan Israel ialah kehadiran senjata nuklear. Mereka pasti ada (senjata nuklear), 100%…walau pun tiada sebarang pihak Israel yang akan mengesahkan atau menafikannya,” tegasnya.

IDF turut memiliki dron ‘Eitan’ dengan kelebihan utama ialah robot ini  ‘mempunyai keupayaan untuk melihat tanpa dilihat’.

Clarke berkata bahawa doktrin ketenteraan Israel mengambil kira penggunaan senjata nuklear sebagai ‘penghalang terakhir’ dalam situasi di mana kewujudan Israel dianggap terancam oleh kuasa asing.

“Mereka tidak mempunyai rancangan untuk menggunakannya di Gaza… (lokasinya) ia terlalu dekat (dengan Israel),” jelasnya.

Peralatan perang Hamas

“Hamas ialah salah satu pertubuhan gerila paling lengkap bersenjata di dunia,” dakwa Clarke.

“Ia tidak mempunyai jenis kenderaan perisai yang sama seperti Israel atas pelbagai sebab, termasuk ia akan menjadi sasaran yang sangat ketara bagi serangan Israel.

“Mereka beroperasi dari kenderaan utiliti seperti Land Rover Discoverys dan memasang senjata di belakang, seperti mesingan berat 30 kaliber.”

“Ini boleh menjadi sangat mudah alih dan telah digunakan untuk kesan yang memusnahkan,” kongsinya.

Hamas dikatakan tidak mempunyai kereta perisai berat tetapi menggunakan pelbagai kenderaan utiliti. (FOTO FAIL: AP)

Sementara Israel mempunyai sistem pertahanan udara Iron Dome yang sebelum ini dilihat sebagai canggih, Hamas bagaimanapun telah dapat mengatasinya dengan menerobos sejumlah besar roket seperti yang dilakukan pada 6 Okt lalu itu.

“Ia menggunakan versi berbeza peluru berpandu balistik permukaan-ke-permukaan Fateh-110 buatan Iran yang mudah alih jalan raya dan boleh membawa hulu peledak seberat sehingga 500kg.

“Hamas juga mempunyai peluru berpandu anti-kereta kebal yang serupa dengan Stinger milik AS.

“Hamas sangat lengkap dengan beberapa jenis perkara (peralatan perang) dan mereka dilatih (secara profesional) untuk menggunakannya,” dedah Clarke.

Ditanya berapa ramai pejuang Hamas, beliau menelah bahawa sebelum ini dianggarkan mempunyai mencecah kira-kira 10,000 orang, tetapi menambah bahawa ‘apabila keganasan (angkara serangan balas IDF), ia berkembang dan boleh menggerakkan lebih ramai pejuang’.

“Jadi, bilangan mereka boleh berubah daripada 10,000 orang Hamas yang komited kepada apa-apa sehingga 40,000 dan 50,000 orang,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/10/2023

- Advertisement -