Pembebasan Al Quds makin hampir, di mana peranan kita?

- Advertisement -

SUDAH hampir dua minggu sejak bermulanya misi Taufan Al Aqsa yang dilancarkan oleh tentera pembebas Palestin, Hamas dengan melakukan serangan secara terbuka dan berstrategik ke atas negara haram Israel. Serangan kali ini tampak lebih gagah perkasa berbanding siri perang sebelumnya di samping mendapat bantuan daripada negara-negara Islam luar seperti Iran dan Lubnan dalam misi membebaskan rakyat Palestin dari kezaliman dan cengkaman Israel.

- Advertisement -

Dengan Taufan Al Aqsa juga, telah membangkitkan semangat dan sokongan terhadap isu yang sudah hampir seabad ini dari segenap pelosok dunia. Yang lebih mengejutkan, kesedaran dan desakan supaya tanah ini dibebaskan juga datang dari rakyat-rakyat barat dan Amerika Syarikat biarpun pemimpin-pemimpin mereka, dan syarikat gergasi tanpa segan silu memberi lampu hijau menyokong tindakan durjana zionis Israel ke atas penduduk Palestin.

Seperti dilontarkan oleh kebanyakan pihak, untuk menyokong Palestin dalam isu ini tidak memerlukan anda menjadi seorang Muslim mahupun penduduk arab atau penduduk Palestin, akan tetapi cukup sekiranya nilai kemanusiaan masih tersisa di dalam jiwa, maka dengan fakta dan sejarah pendudukan haram yang berdekad lamanya oleh Israel akan pasti ditolak dan tidak boleh diterima.

Sebagai umat yang beriman dengan Islam, pembebasan Al Quds merupakan janji Allah sebelum tibanya hari kehancuran dunia atau lebih dikenali sebagai Hari Kiamat. Dengan siri-siri serangan yang berjaya mengoncangkan tentera zionis menjadi tidak keruan dan kelam kabut, maka tidak mustahil taufan ini menjadi perintis terhadap janji Allah yang telah dikhabarkan oleh baginda Rasul SAW berkurun lamanya dahulu.

Cuma persoalannya sekarang sejauh manakah keprihatinan terhadap isu ini dalam kalangan masyarakat kita? Walaupun boleh dikatakan majoriti rakyat Malaysia, rata-ratanya tanpa segan silu, berbelah bahagi menyatakan dan memberikan sokongan terhadap saudara kita di Palestin, masih ada segilintir golongan minoriti yang termakan dengan falasi palsu agenda barat. Sehingga boleh merasa simpati terhadap zionis yang sebelum ini tidak malu dan peduli dengan kekejaman yang mereka lakukan berzaman lamanya.

Golongan seperti ini, kalau latar belakangnya bukan seorang Muslim, kita mungkin boleh menerima dan faham mengapa mereka bersikap dengan sikap sedemikian. Namun, yang pahitnya untuk ditelan, bila orang Islam sendiri rasa malu-malu untuk menyatakan sokongan terhadap Palestin dan nasib umat Islam di Gaza. Bahkan lebih teruk, orang Islam sendiri yang memberi simpati kepada zionis Israel dan mengecam tindakan tentera-tentera yang mahu membebaskan Al Aqsa.

Di manakah jiwa kemanusiaan kita? Terlalu jahilkah kita sehingga tidak mampu menghadam lumat isu yang sudah membarah lamanya ini sehingga kejahilan itu memakan jiwa kemanusiaan dalam diri? Sehingga membutakan mata, mentulikan telinga, dan membenakkan hati?

Malulah di saat, ada di luar negara kita yang mereka bukan Islam tetapi bersungguh-sungguh menyatakan pendirian mereka mahukan keadilan dan kebebasan diberikan kepada Palestin. Malulah, di saat ini di tanah Al Quds sana, mereka berjuang mempertaruhkan nyawa, berjuang melawan emosi dan perasaan kehilangan anak, isteri dan suami, sedang kita masih malu-malu dan takut-takut walau untuk hanya bersolidariti, menyatakan sokongan, dan mengajak orang untuk sokong nasib saudara kita di sana.

Sedarlah. Bukalah mata. Bangkitlah. Taufan ini bukan taufan yang membinasakan, akan tetapi taufan yang membebaskan bumi ini dari manusia-manusia durjana. Bersikap berkecuali bukan pilihan, kerana tidak menyokong Palestin bermakna anda tidak bersama dengan perjuangan mereka yang berpuluh tahun lamanya ditindas.

Mewakili Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulamak (Geng Ustaz), kami menyatakan sokongan penuh terutamanya untuk saudara kami Hamas, dan bersolidariti Bersama-sama seluruh rakyat Palestin yang sudah lama dahagakan kebebasan.

Geng Ustaz juga turut melancarkan tabung kecemasan untuk tujuan mengumpulkan dana bagi menjadi pengantara rakyat Malaysia untuk dihulurkan keperluan kepada saudara kita di sana.

Bantulah dengan kemampuan kita, jangan hanya berpeluk tubuh. Kelak apabila kita menghadap Tuhan di akhirat kelak, kamu pasti akan ditanya apakah perananmu untuk Tanah Suci Al Quds? Untuk saudara-saudaramu.

AHMAD SYAKIR NORAZLI
Ketua Penerangan
Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulamak (Geng Ustaz) – HARAKAHDAILY 18/10/2023

- Advertisement -