
SHAH ALAM: Setelah pembentukan kerajaan campuran Pakatan Harapan, rakyat dikejutkan dengan pelbagai tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap penyokong PERIKATAN NASIONAL.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, tuduhan seperti ‘rasis’ dan ‘tidak bijak memilih’ telah dilemparkan oleh pemimpin dari pihak kerajaan.
Katanya, kempen ‘PN Best’ di platform-platform media sosial begitu berkesan sehingga mengundang rasa iri hati oleh para penyokong parti lawan.
Menurutnya, ada di antara pencipta kandungan di media sosial telah didatangi oleh pihak berkuasa sebagai suatu langkah provokasi hanya kerana individu tersebut mencipta kandungan yang memberi kredit kepada PERIKATAN NASIONAL.
“Walaupun keadaan sedikit panas, semua penyokong PERIKATAN NASIONAL, terutamanya anak muda dilihat tenang, matang dan tidak mudah koyak,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-64 di IDCC di sini, malam ini.
Muktamar itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Turut hadir ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin.
Hingga kini, ujarnya anak muda masih lagi kekal memberi sokongan padu terhadap PERIKATAN NASIONAL dan indikator ini dapat dilihat pada keputusan Pilihan Raya ke-15 Dewan Undangan Negeri yang lalu.
Katanya, insiden prejudis atau kebencian berlandaskan sentimen ekstremis Islamofobia oleh sesetengah kumpulan itu semakin merawak dalam masyarakat termasuklah golongan yang mengamalkan budaya politik yang melampaui batas.
Tambahnya, ia terbukti dengan penahanan dan pertubuhan terhadap beberapa individu yang tidak segan untuk mengeji atau menghina agama Islam, umat Islam mahupun figura Islam sejak kebelakangan ini terutama dalam media sosial.
Fadhli berkata, ungkapan ekstremis dan pelampau sering dilaungkan oleh penyokong-penyokong Pakatan Harapan kepada mereka yang berpegang dengan dasar dan fundamental beragama yang kukuh.
“Amat kesal kerana golongan-golongan inilah yang menjadi batu api dalam memecahbelahkan keharmonian umat Islam di Malaysia,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Katanya lagi, susulan dua portal berita yang tidak boleh diakses kerana disyaki telah disekat oleh pihak kerajaan dan siasatan pihak berkuasa ke atas beberapa aktivis media sosial baru-baru ini merupakan perlanggaran yang serius terhadap kebebasan bersuara di bawah kelolaan Kerajaan Madani.
Menurutnya, adalah menyalahi Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan apabila seorang menteri menyekat kebebasan bersuara tanpa alasan yang tidak jelas dan tepat.
“Adakah hak kerajaan untuk memutuskan perkara yang benar atau tidak tepat?” ujarnya.
Beliau berkta, mungkin mereka lupa pemansuhan yang telah dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2018 terhadap Akta Anti Berita Palsu yang dianggap sebagai ancaman kebebasan bersuara.
“Fitnah atau berita palsu ini haruslah ditangani dengan penjelasan yang tuntas, bukan dijenayahkan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 18/10/2023











