
SHAH ALAM: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, selama 11 bulan pemerintahan Madani jelas terzahir kelemahan tatakelola mereka dalam memimpin negara.
Katanya, satu demi satu kelemahan, kecelaruan, kelesuan, ketidakupayaan, kebobrokan dan hipokrasi mereka terserlah.
Menurutnya, pemerintahan yang bercirikan kleptokrasi, kakistokrasi, dihantui dengan isu integriti, pengurusan pentadbiran yang cacamerba dan tidak cekap.
Beliau menambah, kerajaan sedia ada juga jelas gagal menterjemahkan manifesto mereka dalam hala tuju dan dasar-dasar negara.
“Mereka hanya sekadar mampu berteori dan sangat defensif, tanpa tindakan yang segera dan tuntas,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-64 di IDCC di sini, malam ini.
Muktamar itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Turut hadir ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin.
Ahmad Fadhli berkata, konsep keadilan yang dilaungkan oleh Kerajaan Madani amat mengelirukan dan terbukti hanya retorik semata-mata.
Tambahnya, pelantikan seorang pemimpin dalam jawatan tertinggi pentadbiran negara yang mempunyai rekod 47 pertubuhan yang membabitkan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membuktikan kerajaan campuran Pakatan Harapan-Barisan Nasional sanggup menggadaikan prinsip demi kuasa.
Ditambah pula, ujarnya dengan episod layanan istimewa diberikan dihentikan pendakwaan di saat prima facie telah berjaya dibuktikan, membuktikan dengan jelas betapa mereka sanggup melacurkan prinsip keadilan demi kekal di puncak kuasa.
“Kita tidak perlu menjadi Al-Ghazali, kita tidak perlu menjadi Ibnu Khaldun, kita tidak perlu menjadi Albert Einstein, jauh sekali daripada menjadi seperti sebahagian menteri dalam kerajaan yang masih lagi terkial-kial mencari formula ajaib,” katanya.
Lebih menggusarkan, ujar beliau masih ada lagi yang bersikap menafikan keberadaan krisis di negara dengan menyalahkan pihak lain atas kelemahan kerajaan yang ada.
“Kita masih ingat lagi jawapan sinis seorang Menteri Formula, katanya ‘By right, kalau harga ayam itu dah mahal sangat, we should reduce makan ayam’,” katanya.
Katanya, menteri yang sama baru-baru ini menyalahkan rakyat Malaysia ketagih makan luar yang menyebabkan susut pendapatan.
“Maka pada ketika ini, apabila harga beras naik, jika ikut formula ajaib menteri, kena kurang makan nasi dan lebihkan makan roti.
“Tak lama lagi harga tepung gandum pula mungkin melambung, maka Menteri akan berpesan kena berhenti makan roti pula,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Beliau turut menyentuh harga beras import sehingga 36 peratus berbanding sebelum ini, beras tempatan pula didapati sukar untuk diperolehi.
“Bukankah antara permulaan kepada krisis beras ini adalah apabila negara India telah mengenakan larangan eksport beras beberapa bulan yang lalu?” tanya beliau.
Menurutnya, umum mengetahui India adalah negara yang menyumbang lebih daripada 40 peratus daripada eksport beras dunia, bermakna larangan eksport bakal meningkatkan harga beras.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa kerajaan tidak bertindak lebih awal berkenaan isu itu.
“Adakah kerajaan hanya sedar pada ketika krisis beras meruncing di dalam negara?
“Sebenarnya kerajaan lambat dan lembab dalam bertindak dan lebih tepat lagi kerajaan pada ketika ini sebenarnya tidak tahu mengurus negara,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 18/10/2023











