Krisis ekonomi negara, rakyat pula dipersalahkan

- Advertisement -

SHAH ALAM: Seorang pemimpin harus mempunyai sifat yang adil dalam memerintah sesebuah negara.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata keadilan merupakan satu perkara yang wajib diamalkan oleh mana-mana kerajaan sekalipun.

“Namun kerajaan Madani telah gagal melakukan sedemikian ketika memegang tampuk pemerintah pusat pada masa ini,” katanya.

Tambah beliau, terdapat banyak ketidakadilan yang berlaku yang mana sesiapa sahaja yang bersuara akan dikenakan tindakan tanpa sebab yang munasabah.

Menurut beliau lagi, sifat sebegitu juga terbukti ketika kerajaan menguruskan ekonomi negara pada masa ini.

“Kita sendiri boleh lihat ketika krisis ekonomi yang berlaku pada masa ini yang mana rakyat pula yang dipersalahkan walhal kerajaan seharusnya menyediakan strategi yang berkesan dalam menghadapi masalah-masalah sebegitu,” tegasnya.

Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-64 di IDCC di sini, malam ini.

Muktamar itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Turut hadir ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin.

Beliau juga menyentuh isu Palestin yang mana beliau amat mengutuk tindakan kezaliman rejim zionis Israel dalam menindas rakyat Palestin.

“Kekejaman ini merupakan sesuatu perkara yang tidak boleh dimaafkan kerana betul-betul melampaui batas.

“Kami sebagai warga PAS bukan sekadar parti politik semata-mata tetapi juga pertubuhan Islam yang mana hati kami akan sentiasa bersama-sama dengan rakyat Palestin,” katanya.

Kata beliau, satu perhimpunan akan diadakan di tengah bandar raya dan akan bergerak ke kedutaan Amerika Syarikat sebagai protes terhadap tindakan Israel menceroboh negara Palestin.

“Tarikhnya kami akan beritahu kemudian tetapi ini sebagai bukti yang kami bersama-sama dengan perjuangan rakyat Palestin,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas. – HARAKAHDAILY 18/10/2023

- Advertisement -