Belanjawan 2024: Gambaran ekonomi tahun depan lebih teruk

Shahir Adnan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Belanjawan 2024 seolah-olah memberi gambaran bahawa keadaan ekonomi tahun hadapan bakal menjadi lebih teruk daripada hari ini dengan dasar tidak cakna rakyat iaitu menaikkan cukai dan mengurangkan subsidi.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, melalui bajet tahunan yang dibentangkan baru-baru ini terdapat banyak isu asas yang menjadi tanda tanya dalam belanjawan kali ini.

“Mengenai cukai perkhidmatan ia dinaikkan dari enam peratus kepada lapan peratus, kecuali makanan, minuman dan telekomunikasi.

“Namun, secara realistik, akan berlaku rantaian kenaikan cukai kerana kos pengangkutan, kos logistik, dan kos bahan mentah akan meningkat, menyebabkan kos makanan, minuman dan telekomunikasi turut akan meningkat.

 “Kedua, apakah rasionalnya menarikbalik harga siling ayam dan telur. Kalau sebelum ini, rakyat yang susah, dapat menikmati hidangan telur sebagai sumber protein, pada tahun hadapn, harga telur pun akan dilambungkan. Peniaga restoran juga bakal terkesan dengan peningkatan harga ayam dan telur. Akibatnya, harga makanan bakal melonjak tinggi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini

Dalam perkembangan sama katanya, berhubung diskaun pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut dikurangkan. 

“Dahulu, diskaun yang diberikan adalah 20 peratus bagi penyelesaian penuh, manakala 15 peratus bagi bayaran kurang 50 peratus. Belanjawan 2024, semuanya pukul rata dengan jumlah diskaun yang rendah, hanya 10 peratus diskaun diberikan bagi penyelesaian penuh dan bayaran kurang 50 peratus.

“Kalau dahulu, bagi pinjaman RM20,000 lepasan graduan dapat menikmati potongan RM4,000. Kini, semuanya berkurang separuh.

“Akhir sekali, dari sudut subsidi, desas desus berlegar kencang, di samping terdapat komen daripada Perdana Menteri sendiri berkenaan penarikan subsidi minyak dan diesel dan mahu melaksanakan subsidi bersasar. Lain pula nadanya setelah menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/10/2023

- Advertisement -