Serangan darat Israel: Sejuta penduduk Gaza larikan diri

Agensi PBB yang menyokong pelarian Palestin berkata bahawa kira-kira sejuta rakyat Palestin telah kehilangan tempat tinggal pada minggu pertama konflik Israel-Hamas, tetapi jumlah itu mungkin lebih tinggi. (FOTO: AFP)
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA, Wilayah Palestin: Lebih satu juta orang telah meninggalkan rumah mereka di Gaza dalam keadaan huru-hara dan putus asa ketika Israel mengebom wilayah yang diperintah Hamas dan meneruskan kemasukan pasukan  tentera beramai-ramai pada Isnin sebagai persediaan untuk serangan darat sepenuhnya di utara Gaza.

Israel mengisytiharkan perang ke atas kumpulan mujahid Islam itu sehari selepas gelombang pejuangnya menembusi sempadan yang berkubu kuat pada 7 Okt lalu, sebelum menembak, menikam dan membakar sehingga mati lebih 1,400 individu, kebanyakannya orang awam.

- Advertisement -

Selepas ia mengalami serangan paling dahsyat dalam sejarahnya oleh Hamas, Israel melancarkan kempen pengeboman tanpa henti di Semenanjung Gaza yang telah meratakan kawasan kejiranan dan membunuh sekurang-kurangnya 2,670 rakyat Palestin di Gaza, terutamanya orang awam.

Berikutan arahan Israel untuk berpindah ke selatan Semenanjung Gaza, orang ramai telah meninggalkan rumah mereka di utara enklaf untuk mencari perlindungan di mana sahaja mereka boleh, termasuk di jalanan dan di sekolah yang dikendalikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor AFP.

Mereka membawa apa sahaja barang yang mereka boleh, dalam beg dan beg pakaian, atau dibungkus untuk dimuatkan ke atas motosikal beroda tiga, kereta, van dan juga kereta sorong yang ditarik keldai telah menjadi pemandangan biasa.

“Tiada elektrik, tiada air, tiada Internet. Saya rasa seperti kehilangan sifat kemanusiaan saya,” kata Mona Abdel Hamid, 55, yang melarikan diri dari Kota Gaza ke Rafah di selatan enklaf, dan terpaksa tinggal bersama orang yang tidak dikenali.

Terdahulu, Presiden AS, Joe Biden berkata dalam temu bual dengan program berita CBS, 60 Minutes bahawa ‘walaupun menyerang dan mengusir pelampau’ diperlukan, sebarang langkah Israel untuk menduduki Gaza akan menjadi suatu ‘kesilapan besar’.

Tindak balas habis-habisan

Israel telah mengumpulkan tentera di luar kawasan  Gaza yang telah lama disekat dengan 2.4 juta penduduk sebagai persediaan untuk apa yang dikatakan tentera akan menjadi serangan darat, udara dan laut yang melibatkan ‘operasi darat yang penting’.

“Kami berada pada permulaan operasi ketenteraan yang sengit atau dipertingkatkan di Gaza City,” kata jurucakap Angkatan Pertahanan Israel (IDF), Jonathan Conricus.

“Adalah tidak selamat untuk orang awam tinggal di sana,” tambahnya.

Sementara penyokong Hamas, Iran dan Hizbullah Lubnan, yang turut disokong oleh Tehran, telah memberi amaran bahawa pencerobohan ke atas Gaza akan disambut dengan tindak balas habis-habisan.

“Tiada siapa boleh menjamin kawalan keadaan dan konflik tidak meluas jika Israel menghantar tentera daratnya ke Gaza,” kata Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian.

Kebakaran di sepanjang sempadan Israel-Lubnan telah meningkat pada minggu lalu, mendorong Israel menutup kawasan itu kepada orang awam.

Pada Ahad, sebuah roket melanda pangkalan pengaman PBB di selatan Lubnan, manakala serangan Hizbullah meragut satu nyawa di Israel, kata tentera Israel.

Lebih 10 orang telah terbunuh di Lubnan dan sekurang-kurangnya dua di Israel pada minggu lalu. Antara yang terbunuh di Lubnan ialah seorang wartawan Reuters, Issam Abdallah.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken sepatutnya kembali ke Israel pada Isnin selepas lawatan krisis ke negara-negara Timur Tengah dalam usaha terburu-buru untuk mengelakkan krisis yang lebih meluas di rantau yang tidak menentu itu.

Namun, ketika Israel berusaha membalas serangan Hamas, Liga Arab dan Kesatuan Afrika telah memberi amaran bahawa pencerobohan tentera Zionis itu di Gaza boleh membawa kepada ‘pembunuhan beramai-ramai yang tidak pernah berlaku sebelum ini’.

AS rayu pengaruh China

AS yang telah memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Israel, telah menghantar dua kapal pengangkut pesawat ke timur Mediterranean sebagai penghalang.

Rumah Putih telah menyuarakan kebimbangan mengenai prospek Iran ‘terlibat secara langsung’ dalam perang Israel-Hamas itu, selepas Tehran memuji serangan Hamas tetapi menegaskan ia tidak terlibat.

Namun ketika ditanya dalam wawancara 60 Minutes sama ada tentera AS mungkin menyertai perang, Biden berkata: “Saya rasa itu tidak perlu.

“Israel mempunyai salah satu pasukan tempur terbaik di negara ini. Saya jamin kami akan menyediakan semua yang mereka perlukan,” katanya.

AS juga telah merayu kepada China untuk menggunakan pengaruhnya di rantau itu untuk meredakan ketegangan.

Pada hari Ahad, Menteri Luar Negeri Wang Yi berkata tindak balas Israel telah ‘melangkaui skop pertahanan diri’, dan menuntut agar ia ‘menghentikan hukuman kolektifnya terhadap penduduk Gaza’.

Dengan mengumpulkan beribu-ribu tentera dan senjata berat di padang pasir di selatan negara itu, tentera Israel berkata ia sedang menunggu lampu hijau ‘politik’ untuk masuk ke utara Gaza.

Bunuh 47 keluarga, 500 orang

Tentera sebelum telah mengarahkan agar 1.1 juta rakyat Palestin di utara Semenanjung Gaza untuk berpindah  ke selatan enklaf itu.

Namun, serangan udara Israel berterusan di selatan Gaza termasuk di Khan Yunis dan Rafah, di mana seorang penduduk berkata rumah golongan doktor menjadi sasaran.

“Semua ahli keluarga telah dibunuh Israel,” kata Khamis Abu Hilal.

Pengurus Muslim Care Malaysia-Palestin, Ahmed Abu Ayesh melalui WhatsApp yang merujuk kepada Pejabat Media Kerajaan Gaza pada Isnin, berkata keluarga AlNajjar telah kehilangan 42 ahli keluarga dalam serangan udara bersasar Israel itu.

Sementara, PBB, juga pada Isnin, berkata bahawa 47 keseluruhan keluarga, berjumlah kira-kira 500 orang, telah dihapuskan dalam kempen pengeboman Israel.

Kerajaan asing dan agensi bantuan, termasuk PBB dan Palang Merah, telah berulang kali mengkritik perintah pemindahan Israel.

Agensi PBB yang menyokong pelarian Palestin berkata Ahad bahawa kira-kira sejuta rakyat Palestin telah kehilangan tempat tinggal pada minggu pertama konflik – tetapi jumlah itu mungkin lebih tinggi.

Penyelaras kemanusiaan PBB untuk wilayah Palestin, Lynn Hastings mengecam  Israel menghubungkan bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan pembebasan berpuluh-puluh tebusan yang diculik semasa serangan Hamas.

“Mereka telah berkata mereka mahu memusnahkan Hamas, tetapi trajektori mereka sekarang ialah akan memusnahkan Gaza,” katanya.

Penduduk Gaza terperangkap

Di Gaza, hospital menjadi tertekan dengan peningkatan jumlah kematian dan kecederaan, dengan pegawai berkata Ahad bahawa kira-kira 9,600 orang telah mengalami kecederaan.

Sementara, Menteri Tenaga Israel, Israel Katz pada hari Ahad berkata bekalan air ke selatan Gaza telah dihidupkan semula.

Namun gangguan bekalan elektrik telah menjadi ancaman yang melumpuhkan sistem sokongan hidup, daripada loji penyahgaraman air laut kepada penyejukan makanan dan inkubator hospital.

Penduduk Gaza secara amnya terperangkap, dengan lintasan yang dikawal Israel ditutup dan Mesir juga telah menutup sempadan Rafah di selatan.

Sementara, Blinken berkata beliau yakin lintasan itu ‘akan dibuka’untuk bantuan ke jalur itu, di tengah-tengah laporan bahawa Mesir menghalang laluan penduduk Gaza dengan pasport asing sehingga bekalan bantuan dibenarkan masuk.

Beliau secara mutlak menolak idea yang dilontarkan untuk mengusir rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza. – HARAKAHDAILY 17/10/2023

- Advertisement -