
SEPANGGAR: Jelajah Dakwah Muslimat PAS Sabah yang diadakan kelmarin bertujuan menyelami kesusahan hidup penduduk pinggiran bandar Kota Kinabalu.
Menurut pengarah program, Nusaibah Bukhari, semasa program itu, mereka turun ke lapangan bagi melihat sendiri kebajikan golongan mualaf di samping menyelami ujian yang sedang dialami.
“Kami mengadakan ziarah sekitar Kampung Tamalang Kebayau dan Jelajah Dakwah di Kampung Barunuon bagi mengambil maklum keperluan mendesak yang diperlukan penduduk di kampung tersebut.
“Ia secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan pimpinan muslimat PAS dan rakyat,” katanya kepada Harakahdaily.
Mereka turut memberi sumbangan beras, senaskhah al-Quran, kit ibadah dan wang tunai bagi meringankan beban penduduk yang diziarahi.
Salah seorang penduduk, Girosh Juani, 64, yang menghidap kanser payudara melahirkan rasa terharu di atas kunjungan tersebut.
Suaminya, Ismail Sarim, 67, yang baru sihat daripada serangan strok turut mengalirkan air mata menerima sumbangan berkenaan. – HARAKAHDAILY 17/10/2023











