
KUALA LUMPUR: Status terkini penguatkuasaan undang-undang berkenaan larangan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam mendapat perhatian ahli parlimen PERIKATAN NASIONAL.
Ini susulan tindakan penarikan balik rayuan oleh pihak Menteri Dalam Negeri dan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Mac 2021.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan [PN-Kota Bharu] mengemukakan soalan mengenai perkara itu kepada Menteri Dalam Negeri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh [PN-Besut] turut meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan persediaan yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan dalam menyelesaikan polemik penggunaan kalimah Allah susulan penarikan balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Jill Ireland melawan Menteri bagi Kementerian Dalam Negeri.
Beliau juga ingin tahu siapakah pihak-pihak yang terlibat dan dirundingi dalam menetapkan dasar dan polisi baru yang akan diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada bulan Oktober ini.
Berikut ialah senarai soalan daripada ahli-ahli parlimen PERIKATAN NASIONAL pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi ini.
Waktu Pertanyaan Menteri
Dato’ Rosol bin Wahid [Hulu Terengganu] minta Perdana Menteri menyatakan apakah jaminan Kerajaan bahawa langkah mengapungkan harga ayam dan telur tidak akan membebankan rakyat yang sedang berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi.
Pertanyaan Bagi Jawab Lisan
Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin [Masjid Tanah] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan langkah yang diambil oleh pihak Kementerian bagi mengatasi isu kesesakan banduan di dalam penjara dan apakah program-program ataupun latihan-latihan yang dikenal pasti untuk membantu bekas banduan untuk meneruskan kehidupan mereka supaya tidak terjejak kembali dalam dunia jenayah.
Tuan Roslan bin Hashim [Kulim Bandar Baharu] minta Menteri Pendidikan menyatakan mengapa 5 hadis digugurkan daripada hadis 40.
Tuan Wan Razali bin Wan Nor [Kuantan] minta Menteri Pengangkutan menyatakan status terkini perkembangan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL):
(a) bilangan syarikat tempatan dan syarikat luar yang terlibat dalam projek ECRL; dan
(b) adakah terdapat implikasi kewangan tambahan yang terkini bagi projek ini.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [Kubang Kerian] minta Menteri Perpaduan Negara menyatakan adakah kerajaan bercadang untuk membina sebuah pusat konservasi artifak (Conservation Centre) yang berfungsi seperti di Heritage Conservation Centre (HCC), Singapura bagi menjaga warisan ketara negara dan artifak.
Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [Mersing] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan pendekatan yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam menambah baik mutu perkhidmatan dan operasi pusat pemeriksaan sempadan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor.
Kapten Azahari bin Hasan [Padang Rengas] minta Menteri Pengangkutan menyatakan semakan semula fasiliti kemudahan awam yang disediakan di setiap stesen KTM (Keretapi Tanah Melayu) khususnya di KTM Padang Rengas kerana ada sesetengah daripadanya tidak mesra pengguna/OKU. Seperti contoh tiada lif untuk pengguna OKU berkerusi roda. Mohon dinaik taraf.
Tuan Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan [Permatang Pauh] minta Menteri Kesihatan menyatakan inisiatif Kementerian bagi mengurangkan kadar penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan hipertensi dalam kalangan belia menerusi program sukan dan kecergasan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan.
Tuan Jamaludin bin Yahya [Pasir Salak] minta Menteri Pendidikan menyatakan mengapa sehingga kini masih ada sekolah yang masih belum menerima pengganti setelah guru bergerak keluar daripada sekolah tersebut hingga menyebabkan kekurangan guru dan ada pengganti guru yang masuk tidak mengikut opsyen mengajar yang sepatutnya diganti.
Dr. Abd Ghani bin Ahmad [Jerlun] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah langkah-langkah drastik untuk mengurus penggajian warga asing di Malaysia melalui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang tamat tempoh dihantar pulang ke negara asal kerana jika diabaikan ia boleh mencetus masalah sosial kepada masyarakat dan mengancam keselamatan rakyat tempatan.
Dato’ Ahmad bin Saad @ Yahaya [Pokok Sena] minta Menteri Kesihatan menyatakan:
(a) faktor yang mendorong Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Rokok tidak dibentangkan pada sesi Parlimen yang lalu; dan
(b) pendirian Kementerian berhubung dasar Generasi Penamat (GEG) rokok.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan status terkini penguatkuasaan undang-undang berkenaan larangan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam susulan tindakan penarikan balik rayuan oleh pihak KDN dan Kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Mac 2021.
Dr. Siti Mastura binti Muhammad [Kepala Batas] minta Menteri Pendidikan menyatakan perincian perancangan pembinaan sekolah-sekolah baharu di bawah KPM dalam Parlimen Kepala Batas dan Pulau Pinang.
Tuan Mohd Azizi bin Abu Naim [Gua Musang] minta Menteri Pendidikan menyatakan mengapa Unit Perolehan KPM tidak segera membayar Pelarasan Harga Kontrak tanpa syarat kepada kontraktor yang melaksanakan Kontrak Kebersihan Bangunan dan Kawasan yang mendapat kontrak sebelum perintah perlaksanaan gaji minima RM1,500.00 pada Mei 2022.
Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [Tasek Gelugor] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan kronologi yang membawa kepada kelulusan penganjuran Himpunan MADANI Kedah 2023 anjuran Sekretariat Pakatan Harapan Nasional dan Pakatan Harapan Negeri Kedah pada 24 April 2023, terutamanya apakah dokumen yang dihantar oleh pihak penganjur kepada PDRM, bilakah dokumen-dokumen tersebut diterima dan apakah tarikh permit PDRM dikeluarkan.
Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [Tasek Gelugor] minta Menteri Pendidikan menyatakan langkah yang telah diambil untuk memastikan kontraktor kebersihan, makanan bermasak dan keselamatan dibayar setiap bulan mengikut tempoh masa dalam kontrak agar mereka tidak perlu berhutang dengan syarikat pemfaktoran dan semua tunggakan terutama untuk pelarasan gaji minima dilunaskan segera.
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Besut] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan persediaan yang telah dilakukan oleh pihak Kerajaan dalam menyelesaikan polemik penggunaan Kalimah Allah susulan penarikan balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Jill Ireland melawan Menteri bagi Kementerian Dalam Negeri dan siapakah pihak-pihak yang terlibat dan dirundingi dalam menetapkan dasar dan polisi baru yang akan diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada bulan Oktober ini.
Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [Alor Setar] minta Menteri Kewangan menyatakan sejak bilakah pihak bank mengenakan pelbagai tapisan terhadap pemohon pinjaman yang disenaraikan sebagai Political Exposed Person (PEP) dan apakah kewajaran dikenakan pelbagai tapisan tersebut.
Dato’ Haji Abdul Khalib bin Abdullah [Rompin] minta Menteri Pendidikan menyatakan adakah Kementerian mempunyai rancangan jangka panjang untuk membuat penjajaran semula hala tuju pendidikan negara bagi memaknakan Falsafah Pendidikan Negara yang dilihat semakin dilupakan akibat pembelajaran beroreintasikan peperiksaan masih menebal dalam masyarakat.
Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi [Kuala Kedah] minta Menteri Pendidikan menyatakan perancangan untuk mengadakan perbincangan berkenaan kerelevanan mengurangkan ataupun menoktahkan sekolah- sekolah dua sesi.
Tuan Haji Kamal bin Ashaari [Kuala Krau] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan berapa jumlah terkini warga asing terutamanya dari China yang masuk ke negara tanpa rekod keluar walaupun telah tamat tempoh visa.
Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor [Temerloh] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan:
(a) mengapakah diletakkan kuota 10 ribu jumlah pemohonan kewarganegaraan mesti diselesaikan hujung tahun ini; dan
(b) berapa jumlah kelulusan kewarganegaraan setakat bulan Januari 2023 sehingga Ogos 2023 dan berapa jumlah permohonan yang masih menunggu untuk diluluskan. – HARAKAHDAILY 17/10/2023




















