
JERAI: Penduduk di sekitar Sungai Gurun dinasihat mengambil langkah berjaga-jaga ekoran paras sungai berkenaan melebihi paras bahaya.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam (APM) Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli, pada pagi tadi bacaan melebihi paras bahaya (4.13 meter) dan menunjukkan trend menaik.
Kata beliau hujan lebat yang melanda daerah Yan malam tadi menyebabkan di beberapa kawasan di Mukim Yan dilanda banjir kilat.
“Banjir kilat melibatkan Kampung Teroi Bukit dan Kampung Titi Teras yang membabitkan 32 rumah,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Justeru itu kata beliau anggota APM diarah membuat pemantauan dari semasa ke semasa.
Muhammad Zul turut menasihat penduduk membuat persediaan sekiranya hujan lebat berterusan yang menyebabkan paras naik meningkat.
Hujan lebat yang melanda Kedah semalam juga menyebabkan paras air di Sungai Pendang naik kepada 2.27 meter melebihi paras waspada. – HARAKAHDAILY 16/10/2023











