Kerajaan gagal kawal kenaikan harga barang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan gagal memainkan peranan dengan berkesan untuk mengawal kenaikan harga barang.

Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berkata, rakyat pada hari ini sangat tertekan dengan peningkatan kos sara hidup, terutama dengan harga barangan keperluan harian yang terus melonjak tinggi.

- Advertisement -

“Saya nak terus terang, Perdana Menteri memimpin satu Kabinet yang gagal, tidak nampak satu tindakan bagaimana keresahan yang ada dalam negara ini diambil tindakan secara holistik bagi mengawal kenaikan kos sara hidup, tidak ada lagi.

“Sampai hari ini, umpama tiada penyelesaian dalam menangani kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang tinggi. Perlu saya ingatkan bahawa solusi segera amat diperlukan,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau juga berpandangan bahawa kerajaan yang dipimpin oleh Yang Berhormat Tambun dibarisi anggota Kabinet yang tidak berkebolehan, tiada pengalaman dan kemampuan menyelesaikan masalah rakyat.

Bagaimanapun, beliau bersetuju apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikerahkan untuk menjalankan siasatan membongkar ketirisan pengedaran beras.

“Operasi ini harus dijalankan secara konsisten. Kita tidak mahu apabila bertembung dengan pihak-pihak tertentu yang ada kepentingan, siasatan dihentikan. Nak buat kerja, buat kerja bagi betul, sampai rapat.

“Apa perkara yang berlaku dihadapi oleh pengedaran beras ke kilang-kilang yang menjadi ejen pengedaran dan mendapat lesen dari kerajaan untuk mereka menjadi pembekal beras ke seluruh negara, sama ada beras import dan juga beras tempatan.

“Pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini harus di bawa ke muka pengadilan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 16/10/2023

- Advertisement -