
ALOR SETAR: Kerajaan negeri agak terkilan apabila projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) tidak disebut pada Belanjawan 2024.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek berimpak tinggi itu hanya memerlukan kelulusan, bukan pembiayaan kerana ia akan dibangunkan secara private fund initiative (PFI).
“Saya merasa terkilan kerana KXP langsung tidak disebut dalam pembentangan belanjawan oleh Menteri Kewangan sedangkan projek itu sudah dirancang dan hanya memerlukan kelulusan Kementerian Pengangkutan untuk dilaksanakan,” kata beliau pada kenyataan, di sini, semalam.
Projek KXP ujarnya adalah keperluan masa hadapan negara dan akan menjadi ‘economic game changer’ yang terpenting.
Justeru beliau mengharapkan kerajaan persekutuan khususnya Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan menimbangkan semula cadangan itu.
“Lagipun KXP akan dibangunkan secara private fund initiative (PFI) bukannya pembiayaan atau pinjaman dari kerajaan persekutuan,” tambahnya lagi.
Sementara dalam perkembangan lain, beliau bagi pihak kerajaan negeri merakamkan penghargaan di atas beberapa langkah kerajaan persekutuan khususnya kepada Kedah.
Antara jelasnya, kenaikan harga lantai padi dari RM1,200 ke RM1,300 per metrik tan dan pengumuman memulakan projek tanaman padi lima kali dua tahun serta menjadikan Kota Sarang Semut antara lokasi pilihan.
“Pengumuman ini secara tidak langsung dapat memberi kelegaan kepada para petani kita,” tambahnya.
Selain itu cadangan pembangunan blok baharu pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Rotan dan Program Transformasi Bas Henti Henti di Daerah Kota Setar juga sangat dialu-alukan.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Pengerusi PASRelief merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih atas keprihatinan kerajaan persekutuan menyumbang RM10 juta untuk membantu rakyat Palestin yang sedang dibantai rejim zionis Israel. – HARAKAHDAILY 14/10/2023











