
SUNGAI PETANI: Sebanyak RM10,000 sumbangan peribadi oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor sempena Himpunan Solidariti Rakyat Palestin, semalam.
Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha PAS Kedah, Senator Ustaz Musoddak Ahmad pada himpunan yang diadakan di Dataran Zero (Jam Besar), di sini.
Dalam pada itu lebih RM250,000 berjaya dikumpul melalui serahan sumbangan daripada PAS kawasan-kawasan, dewan-dewan dan badan bukan kerajaan (NGO) seluruh Kedah.
Jumlah itu merupakan sumbangan awal manakala akan disusuli pada fasa dua dan seterusnya.
Himpunan yang bermula kira-kira jam 2.30 petang itu menampilkan ucaptama daripada Menteri Besar sendiri yang juga merupakan Pengerusi PASRelief.
Selain itu wakil-wakil NGO, pemimpin PAS negeri, dewan-dewan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) turut sama menyampaikan kata-kata semangat untuk sama-sama membantu rakyat Palestine yang dikejami regim zionis, Israel.
Terdahulu, hampir 1,000 hadirin berarak dari Sungai Petani Plaza menuju ke lokasi perhimpunan.
Himpunan yang dihadiri ribuan dari pelbagai lapisan masyarakat berakhir kira-kira jam 4.00 petang sebaik sahaja upacara mengoyak bendera Israel dilakukan oleh Menteri Besar.
Muhammad Sanusi sebelum itu menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Muzaffar Shah, Sungai Petani sebelum hadir ke himpunan terbabit. – HARAKAHDAILY 14/10/2023











