Tidak berbangkit mahu tukar nama Kampung Cina

Razali Idris
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri menjelaskan tidak berbangkit hendak menukar nama Kampung Cina kepada ‘China Town’.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, apa yang dimaksudkan sebelum ini penambahan elemen-elemen lain bagi membolehkan Kampung Cina tersenarai dalam ‘China Town’ di peringkat global.

Katanya laporan mengenainya sebelum ini disalah erti beberapa pihak disebabkan penggunaan perkataan penjenamaan.

“Istilah tersebut hanyalah penambah nilai seperti mana tertulis ‘China Town’ pada pintu gerbang di Kampung Cina berkenaan.

“Sebenarnya saya mengatakan dalam perbincangan kita cuba bincang dengan NGO-NGO supaya ‘China Town’ (Kampung Cina) berada dalam senarai China Town di seluruh dunia.

“Hal ini supaya dapat menarik lebih ramai pelancong asing datang ke Terengganu,” katanya pad sidang media selepas menghadiri walkabout Kampung Cina di Pintu Gerbang Kampung Cina di sini, semalam.

Baru-baru ini ada media melaporkan Kampung Cina yang terletak di pusat bandar akan dijenamakan semula kepada ‘China Town’.

Razali berkata, pertukaran tidak berbangkit dan apa yang dilakukan kerajaan negeri mahu mengangkat kebudayaan Cina Peranakan Terengganu di Kampung Cina.

Bagaimanapun kata beliau, sekiranya terdapat sepanduk program di pintu gerbang bertulis ‘China Town’ itu melibatkan aktiviti NGO.

“Perkataan tersebut tidak boleh dikait dengan kerajaan. Dari sudut gazet nama, kerajaan negeri tidak akan menukar Kampung Cina kepada ‘China Town’.

“Bagi NGO-NGO atau penggiat pelancongan yang ingin melakukan promosi jenama ‘China Town’ seperti mana yang terpampang di pintu gerbang itu pandangan mereka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/10/2023

- Advertisement -