Palestin: Malaysia perlu bertindak lebih tegas

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Malaysia mencadangkan tindakan susulan lebih tegas daripada Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung nasib umat Islam di Palestin yang menjadi mangsa keganasan Zionis Israel.

- Advertisement -

Ia termasuk menghantar nota bantahan kepada kedutaan-kedutaan negara di Malaysia yang jelas menyokong Israel.

Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari berkata, tuntutan tersebut terkandung dalam
ketetapan tujuh perkara yang akan dilaksanakan segera dalam usaha membantu nasib umat Islam di Palestin.

Selain itu membangkitkan isu Palestin di Parlimen dan Pemuda PAS akan menyertai Himpunan Aman seluruh negara esok (Jumaat) bagi menyatakan bantahan terhadap kezaliman tentera Zionis Israel yang menyerang Palestin bertubi-tubi.

“Kita juga akan menghantar memorandum bantahan kepada duta-duta yang mana negara mereka menyokong Israel,” katanya pada rakaman video dalam bahasa Arab yang berdurasi hampir tiga minit.

Beliau juga ahli Parlimen Pasir Mas berkata, anak-anak PASTI turut bersolidariti sebagai tanda simpati bagi memberi kefahaman siapa Israel dan kenapa mesti menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Menurutnya juga pihaknya akan berusaha memungut dana bagi membantu rakyat di Palestin biar pun agak sukar untuk menghantarnya dalam situasi sekarang.

Ahmad Fadhli juga berkata, Pemuda PAS akan mengikuti arahan pimpinan supaya menunaikan solat hajat, membaca qunut nazilah di madrasah dan markas PAS.

Kata beliau juga keadaan rakyat Palestin semakin parah memandangkan bantuan dari luar tidak dibenarkan dibawa masuk.

“Mangsa peperangan yang meninggal dunia dan luka parah semakin bertambah. Sehingga Selasa difahamkan seramai 704 orang meninggal dunia dan angka yang cedera melebihi 3,900 orang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/10/2023

- Advertisement -