Masalah air merentasi sempadan politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krau mengingatkan semua pihak bahawa masalah bekalan air sebenarnya adalah perkara yang merentasi sempadan politik.

Ustaz Kamal Ashaari berkata, air merupakan masalah negara dan bukan hanya di negeri tertentu, bahkan di Parlimen Kuala Krau sering mengalami masalah bekalan air, sama ada dari sudut gangguan bekalan air serta kualiti air.

- Advertisement -

Sehubungan itu, katanya Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Pindaan) 2023 merupakan perkara positif kerana memberi ruang kepada SPAN untuk lebih berdikari dalam pentadbiran dan mengurangkan karenah birokrasi.

Katanya, ini penting bagi menyelesaikan isu setempat yang memerlukan perhatian segera SPAN sebagai “ibu” kepada semua agensi air di negeri masing-masing.

“Saya puji dan sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam melaksanakan pindaan kepada akta agar keberkesanan dan kecekapan SPAN dapat dipertingkatkan.

“Namun, besarlah harapan saya lagi-lagi apabila adanya pindaan kepada Seksyen 34 yang membenarkan suruhanjaya membuat apa-apa kontrak yang di bawahnya yang tidak melebihi RM10 juta, agar segala isu di peringkat kawasan dapat diselesaikan segera melalui kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Suruhanjaya Perkhidmaan Air Negara (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ustaz Kamal berkata, menurut rekod Laporan Kumpulan Wang Sumbangan Modal Perbentangan (KWSMP) tahun 2021, hanya tiga dari 17 projek di bawah KWSMP yang diuruskan oleh SPAN melebihi RM10 juta.

Katanya, ini bermakna 82 peratus daripada keseluruhan projek adalah kurang daripada RM10 juta dan melalui pindaan ini, SPAN boleh berdikari dan membuat keputusan sewajarnya.

Beliau turut mencadangkan melalui pindaan Seksyen 34 ,iaitu berkenaan had untuk berkontrak, pejabat SPAN juga dibuka di setiap negeri dan bukan mengikut zon supaya aduan rakyat dapat disampaikan kepada SPAN dan tindakan susulan yang segera dapat dilaksanakan. – HARAKAHDAILY 12/10/2023

- Advertisement -