
KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) meminta keputusan Dewan Rakyat terhadap usul yang dikemukakannya semalam mengenai penyalahgunaan kuasa oleh kakitangan awam dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini.
Beliau berkata, perbuatan itu dikesan berlaku pada PRK Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai, Pahang serta PRK Dun Simpang Jeram dan Parlimen Pulai di Johor.
“Saya bangun di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan 18(1) yang saya telah hantar usul kelmarin, berhubung penyalahgunaan kuasa kakitangan awam yang memberi servis (penyelenggaraan) motorsikal.
“Ia dilakukan oleh kumpulan dari sebuah universiti di tanah air, ini telah dihantar semalam, dan saya belum mendapat apa-apa jawapan daripada Speaker dewan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Dato’ Ramli Mohd Noor, kemudian memberitahu bahawa pejabatnya telah menerima usul itu.
Beliau berkata, setiap usul yang dikemukakan oleh pihak kerajaan mahu pun pembangkang akan dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum keputusan diputuskan.
“Sebagaimana saya nyatakan kepada kepada (Ahli Parlimen) Sungai Petani, usul telah pihak dewan terima dan dalam pertimbangan Speaker yang akan maklumkan sama ada diluluskan atau tidak,” katanya.
Selepas mendengar jawapan itu, Shahidan terus bangun dan meminta supaya keputusan itu disegerakan bagi memberi penjelasan kepada rakyat mengenai keadaan yang berlaku.
Menurutnya, keputusan itu perlu disegerakan kerana tindakan tersebut dijangka bakal dilakukan oleh kumpulan yang sama pada PRK Parlimen Kemaman tidak lama lagi.
“Saya memerlukan jawapan segera sebab saya bimbang PRK Kemaman, kumpulan yang sama akan bagi servis motorsikal percuma kepada Barisan Nasional (BN),” katanya.
BN sebelum ini menawarkan penukaran minyak hitam (pelincir) percuma kepada rakyat sempena PRK Dun Pelangai baru-baru ini yang mendapat bantahan PERIKATAN NASIONAL (PN). – HARAKAHDAILY 11/10/2023




















